CYBERJAYA – Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber (CCoE) hasil kerjasama Malaysia dan BlackBerry Limited bakal menjadi hab pembinaan kapasiti dalam memerangi jenayah siber di Asia Tengara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melancarkan CCoE hari ini berkata, pusat itu akan menjadi hab untuk meningkatkan perkongsian risikan ancaman dan memupuk kerjasama serantau.
“Sebagai lokasi yang dipilih untuk penubuhan CCoE, Malaysia berhasrat untuk mencapai matlamat bersama kami untuk mewujudkan ekosistem kemahiran dan pembelajaran yang berdaya saing global di rantau Indo-Pasifik.
“Menjalin perkongsian antarabangsa, khususnya yang memanfaatkan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin, mengambil kira kepentingan dalam pertumbuhan positif trajektori ekonomi kita,” katanya.
Turut hadir adalah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil; Menteri Promosi Eksport, Perdagangan Antarabangsa dan Pembangunan Ekonomi Kanada, Marry Ng; Ketua Pegawai Eksekutif BlackBery, John. J. Giamatteo; 130 deligasi dan ahli perniagaan dari Kanada.
Malaysia menandatangai perjanjian untuk mengukuhkan postur keselamatan siber Malaysia dengan BlackBerry di San Francisco, Amerika Syarikat tahun lalu yang turut dihadiri Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau.
Anwar sekali lagi mengulangi ketika ini Malaysia mempunyai kekurangan 12,000 profesional dalam bidang keselamatan siber.
Katanya, negara menyasarkan untuk mewujudkan 25,000 pakar dalam bidang tersebut tahun depan.
“Pencapaian ini merupakan gambaran langsung kesan segera CCoE, menyumbang kepada peningkatan kemahiran keselamatan siber dan memupuk budaya inovasi dan rangkaian profesional.
“Melangkah ke hadapan, kerjasama penting hari ini akan menjadi penting dalam memperkukuh keselamatan siber dan memastikan kedaulatan data untuk Malaysia,” kata Anwar.
CCoE akan menawarkan latihan khusus untuk memajukan kapasiti dan kesediaan keselamatan siber Malaysia dan pertama seumpamanya di Asia Tengara yang menawarkan kurikulum keselamatan siber baharu.
Pusat ini juga akan menyediakan pasukan risikan ancaman siber dan tindak balas insiden untuk membantu Malaysia melindungi daripada serangan siber yang menyasarkan perniagaan, kerajaan dan infrastruktur.
Sementara itu Anwar berkata, sehingga Februari 2024, liputan 5G di Malaysia telah mencapai 80.3% liputan di kawasan berpenduduk dan liputan internet masing-masing mencapai 97.07% di kawasan berpenduduk di Malaysia.
Ketersambungan komunikasi akan terus memangkinkan transformasi digital, khususnya industri menegak seperti pembuatan, penjagaan kesihatan, pergudangan, pertanian dan banyak lagi, selain memacu pertumbuhan pusat data dan perkhidmatan awan. – MalaysiaGazette