Gambar hiasan.

ISU penjawat awam belum memiliki rumah mendapat perhatian Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sejak 2012 lagi. Digariskan beberapa kekangan yang menghalang penjawat awam ini daripada memiliki rumah sendiri.

Antara yang dikenalpasti ialah isu tangga gaji yang rendah sekitar RM1,200 sebulan, ternyata bersandarkan kepada tangga gaji ini, harga rumah yang ditawarkan di pasaran berada di luar kemampuan penjawat awam.

Hasilnya merujuk laporan pada tahun 2022, menyatakan 50 peratus daripada 1.62 juta penjawat awam di Malaysia masih belum mampu memiliki rumah.

Tidak ramai penjawat awam yang mampu membeli rumah dengan gaji semasa kerana harga rumah yang meningkat dari hari ke hari. Tidak dinafikan terdapat lambakan rumah yang tidak terjual di Malaysia sehingga mendatangkan kembimbangan kerajaan, namun rumah yang tidak terjual itu berharga RM300,000 ke atas dan kebanyakan penjawat awam pula hanya mampu membeli rumah sekitar RM250,000 ke bawah.

Disebabkan itu ramai penjawat awam yang memilih untuk terus tinggal di kuarters kerajaan sehingga mereka bersara dan paling tidak, mereka menyewa rumah dengan kadar sewaan yang lebih murah berbanding untuk memiliki rumah sendiri.

Campur tangan kerajaan sangat diperlukan agar masalah memiliki rumah ini dapat diatasi. Jika tidak, bukan sahaja penjawat awam malah pelbagai golongan masyarakat juga tidak mampu memiliki rumah kerana harga yang terlalu mahal berbanding pendapatan.

Malah, masalah lambakan rumah yang tidak terjual juga tidak dapat diselesaikan.

Kerajaan sebagai pembuat dasar dan mengawal peraturan berkaitan isu perumahan perlu mempertimbangkan pelbagai alternatif untuk membantu penjawat awam untuk memiliki rumah dengan menambah lebih banyak rumah mampu milik atau mengawal harga jualan rumah.

Selain itu, kadar faedah pinjaman perumahan yang ditetapkan oleh pemberi pinjaman juga perlu dikawal selia dan pelbagai lagi karenah birokrasi yang menyukarkan masyarakat terutamanya penjawat awam untuk memiliki rumah perlu diatasi.

Pendekatan yang strategik dan holistik harus di cuba dan dibincangkan. Perbincangan mengenai kerangka membantu penjawat awam harus lebih serius dengan perbincangan bersama pemaju-pemaju perumahan, pihak bank dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Jika kerjasama ini dapat digembeleng secara teratur dapatlah dimanfaatkan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dimana jaminan dana sebanyak RM10 bilion ringgit yang baharu sahaja dilancarkan Kementerian Kewangan.

Tidak dapat dinafikan bahawa isu pemilikan rumah ini bukan satu perkara yang mudah untuk diselesaikan kerana membabitkan pelbagai pihak dan setiap perancangan perlu diperhalusi terlebih dahulu. Namun, isu penjawat awam tidak mampu memiliki rumah juga sudah berlarutan bertahun-tahun lamanya tanpa ada penyelesaian yang konkrit dari kerajaan.

Kebajikan setiap penjawat awam perlu dijaga termasuklah memiliki kediaman sendiri, namun pada hari ini, keperluan asas seperti memiliki kediaman sendiri semakin sukar terutama di kawasan bandar kerana jangan dilupa bahawa mereka merupakan tulang belakang kerajaan dan golongan pelaksana dasar kerajaan.

Datuk Nor’ashikin Taib
Pengarah Urusan Marvel Management Communication

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast