SHAH ALAM – Tiga pengarah syarikat pembekal yang mengedar barangan kepada KK Super Mart iaitu Xin Jian Chang Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Kesemua individu dan entiti itu masing-masing didakwa dengan satu pertuduhan melukakan perasaan agama orang Islam dua minggu lalu.
Xin Jian Chang dan tiga pembekal yang juga tiga beranak iaitu suami, Soh Chin Huat, 61; isterinya, Goh Li Huay, 62; dan anak mereka, Son Hui San, 36; membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Muhamad Anas Mahadzir.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja melukakan perasaan agama Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah di rak pameran dan dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 298 kanun sama yang membawa hukuman penjara hingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya yang terdiri daripada Masri Mohd Daud, Khairul Azreem Mamat, Ku Hayati Ku Haron, Noor Haslinda Che Seman dan Nadia Mohd Azhar.
Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial isu stoking tertera kalimah tertera Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.
Tiga hari selepas itu, pengurusan KK Super Mart memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.
Syarikat itu berkata, jualan stoking berkenaan dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.
Puluhan laporan polis dibuat terhadap KK Mart manakala Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh menyeru masyarakat memboikot rangkaian kedai serbaneka itu.
Kilang Xin Jian Chang di Batu Pahat, Johor pula ditutup sementara.
Susulan isu itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita. Seri Paduka Baginda bertitah mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette