Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM)  mengingatkan semua pihak termasuk ahli politik supaya berhenti memanaskan isu agama, bangsa dan institusi raja (3R) termasuk stoking tertera kalimah Allah daripada terus dimainkan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu hanya akan merugikan serta merosakkan imej negara.

“Ada juga mereka yang cuba membangkitkan semula isu lama dalam konteks 3R..adakah awak rasa ini masanya? Jangan cuba simbah minyak dalam api kerana ia akan membakar rumah..jangan memudaratkan keadaan kerana yang terkesan nanti adalah rakyat.

“Saya merayu semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama..buat masa ini stand down (kembali bertenang), tolong, saya merayu.

“Mari kita memikirkan masa depan kita yang mana apa jua yang dilakukan sekarang ia akan memberi implikasi kepada generasi masa depan negara..masing-masing kena faham keterbatasan masing-masing,” katanya dalam sidang media  hari ini.

Ditanya tindakan pihak JSJ BUkit Aman memandangkan kes isu 3R semakin panas, beliau menambah polis secara konsisten membuka kertas siasatan terhadap apa jua laporan berkaitan isu perkauman dan 3R tanpa mengambil kisah sama ada ia dibuat oleh pihak kerajaan atau sebaliknya.

“Kita sangat konsisten tentang pembukaan kertas siasatan..ada kertas siasatan dibuka ke atas ahli-ahli Parlimen kerajaan dan juga pembangkang, kita akan buka dan siasat semua, itu pertama.

“Keduanya adalah kita hendak mempertingkatkan lagi maklumat risikan sama ada wujud atau tidak usaha-usaha nak memburukkan lagi keadaan.itu maklumat risikan kami.

“Pihak kami cukup bimbang sekiranya ada perkara sebenarnya tidak libatkan isu perkauman tapi libatkan dua kaum berbeza ia boleh dijadikan sebagai pemangkin kepada isu ini.

“Kami tak nak lihat satu lagi insiden Kampung Medan atau insiden perkauman lain di negara ini sebab ia hanya memburukkan keadaan negara, imej negara maka saya menyeru semua pihak kembali bertenang,” katanya lagi.

Ulas beliau dalam perkara itu, mereka yang terlibat dalam perkara ini telahpun diambil tindakan undang-undang semalam..telahpun didakwa.

“Biar sistem keadilan negara membuat kerjanya. itulah menunjukkan kematangan rakyat kita, kematangan bagaimana kita menangani masalah-masalah sensitif dalam negara ini.

“Dalam hal ini polis akan menggunakan segala apa yang diberikan di sudut undang-undang untuk mencegah sebarang isu yang boleh menganggu ketenteraman. Jadi jangan kita marahkan nyamuk bakar kelambu,” tegasnya.-MalaysiaGazette