KUALA LUMPUR – Harga eksport dan import Malaysia pada Februari 2024, masing-masing meningkat 0.1 dan 1.1 peratus kepada 147.3 mata dan 129.9 mata pada bulan Februari lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport naik 0.1 peratus pada Februari 2024 berbanding bulan sebelumnya,
disumbangkan oleh kenaikan indeks bahan kimia (+1.0%), pelbagai barang keluaran kilang (+0.7%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.7%).

Namun begitu, indeks volum eksport jatuh 9.1 peratus selaras dengan kejatuhan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (-21.9%), minyak galian (-9.8%) dan alat jentera & kelengkapan
pengangkutan (-9.2%).

Indeks volum eksport pelarasan bermusim turut menguncup 4.1 peratus daripada 163.5 mata kepada 156.8 mata.

Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit bertambah 4.3 peratus manakala indeks volum berkurangan 5.0 peratus.

Indeks nilai seunit import bertambah 1.1 peratus pada Februari 2024, disumbangkan oleh peningkatan indeks minyak galian (+2.0%), alat jentera & kelengkapan
pengangkutan (+1.7%) dan pelbagai barang keluaran kilang (+0.3%).

Sementara itu, indeks volum import jatuh 11.4 peratus pada Februari 2024 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kejatuhan dalam indeks makanan (-26.7%), barang-barang keluaran
kilang (-19.3%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-11.8%).

Indeks volum import pelarasan bermusim susut 6.5 peratus daripada 208.0 mata kepada 194.4 mata.

Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit dan indeks volum import masing-masing berkembang 0.9 peratus dan 7.4 peratus.

Di samping itu, terma perdagangan Malaysia merosot 1.0 peratus bulan ke bulan kepada 113.4 mata pada Februari 2024, didorong oleh penurunan indeks minyak galian (-5.1%),
alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-1.0%) dan minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (-0.8%).

Terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun naik 3.4 peratus daripada 109.7 mata pada Februari tahun lalu. – MalaysiaGazette