KUALA LUMPUR – Sah, Tan Sri S A Vigneswaran pertahan jawatan Presiden MIC untuk penggal ketiga apabila menang tanpa bertanding sebaik tempoh pencalonan bagi pemilihan kepimpinan baru parti itu.
Sejurus selepas pencalonan ditutup jam 12 tengah hari tadi dan telah diumumkan oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan di ibu pejabat parti itu hari ini.
Untuk makluman, keputusan itu juga merupakan antara resolusi perwakilan pada Perhimpunan Agung MIC ke-77 November tahun lalu yang tidak mahu sebarang pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan kali ini.
Menurut Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah, pemilihan semula Vigneswaran menerajui MIC adalah antara contoh bagaimana parti itu bersatu dalam menentukan kepimpinan mereka.
“Tan Sri mengekalkan jawatan Presiden MIC untuk penggal ketiga berturut-turut selepas pencalonan presiden parti ditutup di ibu pejabat parti pada tengah hari ini. MIC kini lebih bersatu berbanding sebelum ini dan terus melihat ke hadapan.
“MIC adalah satu-satunya parti berasaskan India di negara ini yang meletakkan komitmen tinggi terhadap kebajikan dan pendidikan masyarakat India sehingga saat ini,” katanya.
Sepatutnya MIC akan mengadakan pemilihan jawatan Presiden bagi penggal 2024 hingga 2027 pada 12 April ini namun dengan kemenangan tanpa tanding oleh mantan Yang Dipertua Dewan Negara itu, kepimpinan Vigneswaran akan kekal untuk tiga tahun akan datang. – MalaysiaGazette