Pengusaha dan pemilik kolam Abah 23 Paradise, Razif Aini, 38 memberi ganjaran ayam seekor secara percuma kepada pemancing di Kampung Sungai Nibong, Sekinchan Selangor. Foto SYADILA AMARI, 26 MAC 2024.

SEKINCHAN – Memahami denyut nadi masyarakat setempat berikutan kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

Pengusaha kolam pancing Abah 23 Paradise, di Sungai Nibong, di sini, memberi peluang mereka memancing dari kolamnya tanpa had masa dan kesemua ikan yang ditangkap boleh dibawa pulang tanpa sebarang bayaran tambahan.

Temubual bersama pengusaha dan pemilik kolam Abah 23 Paradise, Razif Aini, 38 di Kampung Sungai Nibong, Sekinchan Selangor. Foto SYADILA AMARI, 26 MAC 2024.

Menurut Razif Aini, 38, beliau mengambil inisiatif tersebut untuk penggemar hobi kaki pancing berkongsi rezeki pada bulan Ramadan yang rata-rata bekerja sebagai petani dan berniaga sendiri.

“Saya sedar sekarang ini cabaran kos sara hidup agak mencabar, ditambah pula ikan kembung di pasar pun kini sekilogram cecah berbelas ringgit apatah lagi kalau ikan laut jenis Kelas A.

“Jadi idea ini tercetus selepas saya terima khabar ada keluarga yang tidak mampu membeli keperluan harian apatah lagi keperluan baju raya untuk anak-anak.

“Sepanjang bulan puasa ini, kami cuma kenakan bayaran RM100 sahaja untuk memancing dari kolam buka sampai tutup dan semua ikan yang dipancing itu boleh dibawa balik tanpa ada bayaran.

“Antara ikan yang ada di sini seperti siakap, jenahak, ikan kaci, ikan senangi taiwan dan ikan merah pun ada yang saiznya 1.2 kilogram hingga 2.0 kilogram,” katanya pada Malaysiagazette.

Pemancing sedang menunggu hasil tangkapan ikan ketika memancing di kolam Abah 23 Paradise, Kampung Sungai Nibong, Sekinchan Selangor. Foto SYADILA AMARI, 26 MAC 2024.

Tambah beliau, lazimnya kaki pancing akan meluang masa sekurang-kurang lima jam dan mereka berjaya memperoleh hasil tangkapan lebih dari 10 ekor ikan yang pelbagai jenis.

Daripada situ katanya, mereka semua boleh membawa hasil tangkapan atau menjual semula ikan-ikan yang ditangkap pada harga yang lebih murah berbanding harga pasaran antara RM20 hingga RM30 seekor.

“Dalam tempoh itu, hobi mereka ini bukan sekadar memancing sebaliknya dapat dimanfaatkan dengan tidak membuang masa sebab mereka boleh jana pendapatan sampingan.

“Jika ada pemancing itu tidak mendapat hasil, kita akan berikan mereka ikan untuk bawa pulang sebab kasihan sudah luang masa lebih lima jam tapi tiada ikan.

“Bukan itu sahaja, sepanjang bulan Ramadan ini kita juga ada menawarkan mereka cabutan bertuah sebanyak 100 keping voucher bernilai RM250 untuk beli kelengkapan raya dan beri seekor ayam pada 30 pemancing terawal setiap hari Sabtu,” ujarnya.

Temubual bersama pemancing, Muhammad Saiful Azhar Mat Yatim, 45 ketika memancing di kolam Abah 23 Paradise, Kampung Sungai Nibong, Sekinchan Selangor. Foto SYADILA AMARI, 26 MAC 2024.

Sementara itu, pemancing, Muhammad Saiful Azhar Mat Yatim, 45 berkata, walaupun ia merupakan hobi namun dia gembira kerana dapat membawa pulang ikan tersebut untuk makan dengan keluarga secara percuma.

Bukan itu sahaja, dia juga sudah dapat berjimat daripada perlu membeli di pasar dengan harga yang tinggi sekitar RM40 hingga RM60 bagi ikan kelas A.

“Dekat sini walaupun kita bayar (masuk kolam) tapi ikan boleh bawa balik, tidak semua tempat ikan boleh bawa balik. Kadang-kadang pemilik kolam ada juga nak beli dari pemancing, jadi kita adalah duit sampingan.

“Macam pemancing ini, satu hobi sambil kita cari makan. Jadi bila dapat je hasil kita boleh jual pada orang luar. Perkara ini selalu juga pemilik di sini lakukan maksudnya beramal dan tidak berkira,” jelasnya.

Temubual bersama pemancing, Muhammad Khairil Izzudin Muzaimi, 22 ketika memancing di kolam Abah 23 Paradise, Kampung Sungai Nibong, Sekinchan Selangor. Foto SYADILA AMARI, 26 MAC 2024.

Pandangan sama turut dikongsikan Muhammad Khairil Izuddin Muzaimi, 22, yang sudah lima tahun berjinak dalam hobi memancing dan merasakan inisiatifi dilaksanakan pemilik kolam amat membantunya menjana pendapatan sampingan.

“Berbaloi sangat memancing dekat sini sebab kita bayar sekali sahaja dalam RM100 macam tu dan boleh mancing sampai puas tambah pula berapa banyak ikan kita dapat tu boleh bawa balik semua.

“Setakat ini alhamdulilah tidak mengecewakan, sebab ketukan ikan dekat sini memang menarik dan paling banyak dapat 18 ekor ikan. Kita boleh jual dalam seekor RM20 atau RM30 bergantung pada spesis ikan kalau nak makan sendiri jemu juga,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast