Plaza Tol Gombak

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini memberi bayangan pengumuman sama ada terdapat tol percuma sempena perayaan Aidilfitri akan dibuat pada waktu yang sesuai.

Beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya dijangka membuat pengumuman tersebut dan bukannya menerusi Kementerian Pengangkutan.

“Kita tunggu pengumuman rasmi daripada Kementerian Kerja Raya, pengumuman tol percuma ini dibuat oleh Kementerian Kerja Raya dan bukannya Kementerian Pengangkutan.

“Sebab kita yang menjaga lebuh raya di Malaysia dan 33 konsesi di bawah kita. Oleh itu pengumuman tol percuma ini, ada atau tiada, bila waktunya, berapa harinya dan berapa jumlahnya. Kita tunggu pengumuman Kementerian Kerja Raya. Jadi tunggulah dulu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Parlimen di sini.

Ditanya sama ada pengumuman tersebut akan dibuat minggu depan, Ahmad hanya memberitahu, biarlah waktu yang munasabah yang menentukannya.

Sebelum ini, Ahmad pernah berkata secara puratanya, kerajaan memperuntukkan RM21 juta sehari kepada syarikat konsesi lebuh raya, menerusi pelaksanaan tol percuma.

Pada tahun lalu sahaja, katanya kerajaan membayar RM80.07 juta sempena Hari Raya Aidilfitri, Hari Deepavali RM42.31 juta dan Tahun Baru Cina RM41.21 juta.

Bulan lalu, pengguna lebuh raya membabitkan Kenderaan Kelas 1 (Kenderaan Persendirian) menikmati pengecualian bayaran tol selama dua hari pada 8 dan  9 Februari bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Disember lalu, Ahmad mengumumkan tol percuma sempena perayaan Krismas yang  bTerkuatkuasa pada 23 dan 26 Disember bagi semua jenis kenderaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast