KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Abdul Rahman Mohd Nordin disaran supaya tidak hanya pandai membuat kenyataan di kerusi empuk sahaja.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr. Muhammad Akmal Saleh berkata, Abdul Rahman sewajarnya turun padang dan melihat sendiri isu kesesakan di Tambak Johor.
“Dalam isu ini, saya minta setiausaha CUEPACS turun sendiri melihat dan bukan hanya pandai buat kenyataan di kerusi empuk sahaja
“Kita ini semua bekerja untuk memudahkan urusan rakyat, bukan menyusahkan mereka lagi,” katanya dalam kenyataan.
Media semalam melaporkan, Abdul Rahman menggesa sebarang teguran kepada penjawat awam perlu dibuat secara berhemah tanpa terlalu diuar-uarkan di media sosial.
Ia bagi mengelak timbul situasi sehingga tidak menggambarkan situasi sebenar.
Abdul Rahman mengulas pertikaian isu kesesakan di Tambak Johor antara Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dengan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) berhubung terguran kepada Jabatan Imigresen.
Menurut Dr. Muhammad Akmal, adalah penting bagi mereka yang dilantik sebagai pemimpin untuk turun ke bawah bagi mendengar dan melihat sendiri apa keluhan rakyat.
“Bukan hanya buat kenyataan di kerusi empuk dalam bilik aircond
kerana apa yang di atas kertas, selalunya tidak sama apa yang berlaku sebenarnya
“Rakyat Johor semua tahu bagaimana kegigihan MB Johor turun sama ada pagi, petang atau tengah malam untuk melihat sendiri dan bukan hanya sekali tetapi banyak kali sudah MB johor turun malah masalah yang sama masih juga berlaku
“Bila masalah yang sama masih juga berlaku, walaupun dah berulang kali dinyatakan maka sudah tentu perlu dikejutkan dengan kuasa viral rakyat barulah menteri-menteri dan pegawai atasan ini tersedar dari lamunan mimpi,” katanya.
Abdul Rahman sebelum ini mendakwa masa Onn Hafiz melawat Tambak Johor adalah di luar waktu puncak manakala ada sebilangan kecil kaunter ditutup kerana waktu pertukaran giliran pegawai rehat serta tugas pentadbiran lain.
“Pegawai sudah bertungkus-lumus di pintu masuk (Tambak Johor) yang antara tersibuk di dunia. Kritikan akan menyebabkan moral pegawai jatuh,” kata Abdul Rahman.
Pada Isnin lalu, Onn Hafiz dalam satu hantaran di Facebook meluahkan rasa kecewa apabila 13 kaunter di laluan kereta di Tambak Johor tidak dibuka kepada orang ramai sehingga menyebabkan kesesakan sehari sebelum itu. – MalaysiaGazette