Logo kalimah Allah pada stoking yang mencetuskan kegusaran umat Islam.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan pemilik akaun media sosial yang menyebarkan kandungan provokatif berkaitan isu stoking ada kalimah Allah.

Suruhanjaya itu berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang penyebaran kandungan yang melampau di media sosial.

“Susulan insiden melibatkan stoking yang tertera kalimah Allah, MCMC bekerjasama dengan polis bagi mengesan dan menjejaki pemilik-pemilik akaun yang terlibat dan membawa mereka ke
muka pengadilan.

“MCMC mengingatkan semua pihak untuk menghentikan hantaran provokasi dan elak daripada menulis komenkomen yang bersifat provokatif dan 3R (kaum, raja dan agama) di media sosial.

Berdasarkan statistik MCMC terdapat peningkatan ketara kandungan memudaratkan di media sosial dan platform Over The Top (OTT).

Sebanyak 35,490 kandungan telah diturunkan pada 2023 manakala bagi dua bulan pertama tahun ini sahaja 27,115 kandungan diturunkan.

Kandungan memudaratkan termasuklah ucapan berbaur kebencian, scam, penjualan haram, perjudian dan berita palsu.

“Kandungan sedemikian mengundang ancaman signifikan kepada fabrik sosial dan institusi di Malaysia.

“Sejumlah 2,004 kandungan melibatkan ucapan berbaur kebencian dan menyentuh aspek 3R yang berpotensi mencetuskan keganasan dan diskriminasi telah diturunkan sejak Januari 2023 hingga kini.

“Manakala, sejumlah 479 kandungan provokasi dan 3R telah diturunkan sejak 13 Mac hingga kini,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, perkongsian kandungan bersifat jelik dan mengancam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast