KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa melawat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Na’im Mokhtar di hospital.
Dalam perkongsian di media sosial, Anwar mendoakan agar Mohd Na’im segera sembuh selepas menjalani pembedahan kecil semalam.
“Saya sempat ziarah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Mohd Na’im Mokhtar yang baharu sahaja menjalani prosedur pembedahan kecil membuang kelenjar air liur yang mengandungi batu karang.
“Alhamdulillah, keadaan beliau beransur pulih dan saya doakan agar beliau lekas sembuh, insya-Allah,” doa Anwar.
Sementara itu dalam perkongsian di media sosial Mohd Naim menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana menziarahi beliau di Hospital Putrajaya.
“Terima kasih kerana telah mendoakan kesembuhan buat saya. Semoga sedikit masa lagi, saya akan bertugas semula seperti biasa,” katanya.
Dalam perkongsian di laman X sebelum ini, Mohd Naim berkata, prosedur berkenaan dijangka berlangsung pada jam 8 pagi semalam.
Menurutnya, kelenjar tersebut perlu dibuang untuk mengatasi kesakitan yang dialami sepanjang minggu ini.
Pada hantaran sama, beliau turut memohon doa agar pembedahan berjalan lancar selain berdoa kesembuhan buatnya.-MalaysiaGazette