Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri warga tempatan yang ditahan selepas disyaki membekalkan senjata api kepada suspek Israel mengaku memperoleh pistol dan peluru dari Thailand.

Sumber memaklumkan, pasangan itu turut mengakui telah menjual senjata berkenaan kepada seorang lelaki warga Israel.

Pasangan suami isteri warga tempatan berusia 42 dan 40 tahun itu ditahan di bazar Ramadan di Kuala Selangor, semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain yang mengesahkan perkara tersebut serta tangkapan pasangan itu.

Beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenainya memandangkan siasatan masih diteruskan oleh pasukan polis.

Pasangan itu ditahan di Kuala Selangor pada jam 7.15 malam, semalam dan kemudian polis membawa ke kediaman mereka.

Di kediaman tersebut, polis menemui sepucuk pistol dalam sebuah beg galas di kenderaan jenis Honda Jazz disyaki milik mereka.

Berdasarkan maklumat sumber, suspek lelaki dipercayai individu bertanggungjawab membekalkan enam pistol kepada lelaki warga Israel yang memasuki negara ini menggunakan pasport Perancis.

Terdahulu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan di Cameron Highlands, Pahang, yang dipercayai pemandu kepada lelaki Israel terbabit sejak memasuki negara ini pada 12 Mac lalu.

Pada masa ini, polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif utama lelaki Israel itu memasuki negara ini, selain tujuannya memiliki enam pistol dan 200 butir peluru.

Semalam, seorang lelaki warga Israel yang memasuki ibu negara dengan menggunakan pasport negara Perancis terbongkar selepas dia ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah hotel yang terletak di Jalan Ampang dekat sini.- MalaysiaGazette