Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digalakkan untuk repatriasi dan menukar hasil eksport kepada ringgit Malaysia bagi mengukuhkan matawang negara.

Ia susulan seruan Bank Negara Malaysia supaya semua perniagaan merepatriasi duit simpanan asing mereka.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta), Datuk William Ng berkata, langkah ini adalah usaha seluruh negara untuk
menstabilkan nilai ringgit.

Menurutnya, kebanyakan syarikat milik kerajaan sudah mula mempraktikkan langkah ini, dan ianya sudah menghasilkan kesan positif.

Oleh itu, sekarang adalah masa yang sesuai untuk PKS membawa pulang simpanan mereka di luar negara untuk menyokong matawang ringgit.

Secara tidak langsung ia akan membantu mengurangkan ketidakstabilan nilai matawang ringgit dan memudahkan perniagaan untuk
merancang kos dan pengembangan, katanya.

Ng turut mengulangi cadangan Samenta pada bulan Januari lalu agar rakyat Malaysia mengutamakan pembelian barangan dan perkhidmatan tempatan, selain seruannya berhubung pengenalan cukai barang bernilai rendah dengan segera bagi menyamakan taraf untuk peniaga tempatan dan membendung aliran keluar ringgit Malaysia.

Jelasnya, untuk memacukan pemulihan ringgit dengan pantas, rakyat dan sektor swasta disarankan untuk membeli barangan tempatan agar dapat memberi manfaat kepada ekonomi dalam jangka masa panjang, mengurangkan tekanan inflasi dan membolehkan syarikat tempatan berkembang maju serta meningkatkan kemampuan mereka. – MalaysiaGazette