MELAKA – Berbaki 11 hari lagi menyambut Aidilfitri, kegembiraan jelas terpancar di wajah 47 penerima bantuan daripada pemimpin masyarakat apabila dibawa membeli belah pakaian baharu untuk digayakan pada pagi 1 Syawal tidak lama lagi.
Orang kurang upaya (OKU) cerebral palsy atau lumpuh otak, Muhammad Shahrin Zukifli, 25, berkata, dia teruja apabila pertama kali diraikan untuk membeli baju raya hari ini.
“Memang seronok sangat sebab selama ini tak pernah keluar membeli belah begini menjelang raya kerana lebih banyak duduk di atas kerusi roda di rumah.
“Bila dapat peluang keluar begini tambahan pula untuk membuat persiapan 1 Syawal ini, perasaan seronok sukar itu digambarkan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Perasaan sama dikongsi dua beradik anak yatim, Nur Aliah Qaihara Kamaruddin, 17 dan adiknya Nur Athia, 14, selepas kehilangan bapa mereka sejak 14 tahun lalu akibat serangan jantung.
“Sejak itu, ibulah yang menyediakan segala kelengkapan kami tapi tahun ini gembira kerana tidak perlu lagi menyusahkan ibu beli baju raya buat kami,” katanya menahan sebak.
Bagi warga emas, Basiron Mohd Ali, 66, ini adalah tahun kedua dibawa berbelanja di pasar raya membeli sepasang baju raya walaupun tidak berpeluang menyambut Aidilfitri bersama anak-anaknya.
“Memang setiap kali Aidilfitri sejak mendiami rumah kebajikan lima tahun lalu, saya dah terbiasa membawa diri beraya kerana faham anak-anak juga mempunyai keluarga sendiri,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Rumah Orang Tua (ROT) Bukit Larang merangkap Ketua UMNO Cawangan Baruh Alai, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, seramai 47 penerima sumbangan terdiri daripada 40 anak yatim dari Kampung Baruh Alai dan 7 penghuni ROT berkenaan diraikan hari ini.
“Setiap mereka diperuntukkan RM200 untuk membeli apa sahaja keperluan mereka menjelang Hari Raya Aidilfitri di pasar raya ini.
“Ini menunjukkan keprihatinan kita terhadap masyarakat setempat untuk berkongsi kegembiraan bersama mereka yang kurang bernasib baik,” katanya. – MalaysiaGazette