Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menunjukkan kad TnG NFC yang akan di berikan secara percuma kepada 3000 orang yang terawal mendaftar dalam Pengkalan Data pada sidang media mengenai Pangkalan Data Utama (PADU) di Menara Prisma, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 29 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Jumlah individu yang mengemas kini maklumat dalam Pangkalan Data Utama (PADU) meningkat kepada 10.6 juta, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Justeru itu, beliau berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang sudah mengemaskini dan membuat pengesahan dalam sistem berkenaan dan menyeru agar mereka yang belum berbuat demikian melaksanakannya pada hari ini.

“Terima kasih dari saya (secara terbuka) kepada semua warga negara yang mendaftar, mengemaskini dan juga mengesahkan data-data mereka.

“Insya-Allah baki 1 hari lagi ini, mereka yang belum mendaftar boleh cepat-cepat daftar,” katanya di aplikasi X, hari ini.

Dalam pada itu, Rafizi berkata segala maklumat yang diisi dalam PADU perlu disahkan oleh rakyat Malaysia bagi memastikan data yang diberikan tepat.

“Maklumat perlu disahkan dan dikemaskinikan untuk memastikan data Kerajaan itu berlaku adil kepada rakyat kerana data dari PADU akan digunakan untuk menyasarkan subsidi kepada golongan yang layak kelak,” katanya.

Pada 2 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan PADU sebagai pangkalan data berkaitan maklumat asas demografi, pendidikan, pekerjaan, pendapatan, komitmen dan bantuan yang diterima rakyat.

Objektifnya untuk menyediakan pangkalan data utama negara bagi penghasilan analitik berkala dan digitalisasi tanpa ketirisan, menggubal dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data serta mengimbangi kedudukan fiskal menerusi pelaksanaan dasar secara bersasar.

Dalam pada itu, menerusi Facebook rasmi PADU, ia menunjukkan Selangor menjadi negeri paling tinggi mengemas kini PADU iaitu sebanyak 1.70 juta diikuti Johor (1.21 juta), Perak (1.06 juta), Sarawak (0.91 juta), Sabah (0.87 juta) dan Kedah (0.84 juta).

Negeri lain ialah Kelantan dengan 0.73 juta, Kuala Lumpur (0.62 juta), Pulau Pinang (0.61 juta), Pahang (0.60 juta), Terengganu (0.50 juta), Negeri Sembilan (0.45 juta), Melaka (0.33 juta), Perlis (0.12 juta), Putrajaya (0.3 juta) dan Labuan (0.3 juta). – MalaysiaGazette