Gambar hiasan

PETALING JAYA – Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin menjelaskan, pendaftaran Hab Pangkalan Data Utama atau Padu yang dilancarkan kerajaan adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk mengemas kini data.

“Jika kami menggunakan data sedia ada,  mungkin hanya dapat melihat jawatan, alamat, tahap pendidikan semasa serta sama ada seseorang muflis. Maklumat ini mungkin betul atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Sinchew Daily yang inginkan penjelasan mengenai pendaftaran automatik buat mereka yang tidak berdaftar.

Ditanya sama ada “pendaftaran automatik” akan menyebabkan rasa tidak puas hati, Mohd. Uzir menegaskan bahawa Padu diwujudkan bagi kebajikan rakyat.

Katanya, dengan data yang lebih teliti, kerajaan boleh menetapkan pelbagai program bantuan dengan lebih pintar.

Ditanya bagaimana Jabatan Statistik memastikan data yang dibekalkan seseorang adalah tepat, Mohd. Uzir berkata, pihaknya akan membandingkan maklumat dengan agensi lain.

“Jika anda membekalkan maklumat bahawa anda berpendapatan rendah tetapi maklumat Jabatan Pengangkutan Jalan menunjukkan anda memiliki kenderaan, maka maklumat yang dibekalkan anda adalah tidak tepat,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, Jabatan Statistik tidak boleh mengambil tindakan terhadap individu yang membekalkan maklumat palsu.

“Kami mengambil pendekatan pendidikan, iaitu mendidik orang ramai mengisi maklumat yang betul.

“Orang berkenaan akan ketahui bahawa penipuan mereka telah terbongkar saat mereka tidak menerima bantuan kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, Mohd. Uzir berkata, rakyat Malaysia yang tidak mengemas kini data dalam Padu akan didaftarkan secara automatik maklumat asas mereka

Beliau bagaimanapun berkata, maklumat lebih lengkap diperlukan walaupun pelbagai agensi kerajaan telah mengumpul data asas rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette