Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menjelaskan bagaimana boleh membenarkan pendaftaran automatik untuk sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi 30 juta rakyatnya apabila soal privasi dan pendedahan maklumat peribadi masih tidak dapat diselesaikan.

Kerajaan dakwa Naib Presiden MCA, Dr Wee Jeck Seng telah meletakkan data peribadi orang ramai di bawah risiko kebocoran serta kecurian identiti oleh penggodam.

“Walaupun tarikh akhir pendaftaran PADU adalah 31 Mac 2024, hanya 10.8 juta rakyat Malaysia telah mendaftar di seluruh negara.

“Ketua Pengarah Perangkawan Datuk Seri Uzir Mahidin memaklumkan, individu yang tidak mendaftar akan dimasukkan ke dalam sistem secara automatik.

“Dua pertiga daripada penduduk kita bangun pagi ini dan mendapati bahawa mereka telah didaftarkan secara automatik ke dalam PADU. Adakah ini jenaka Hari April Fool yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk rakyatnya?” soalnya yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai dalam satu kenyataan.

Pengumuman terbaharu itu benar-benar membodohkan rakyat biasa yang beratur panjang untuk mendaftar PADU selepas diberi tanggapan bahawa pendaftaran adalah wajib.

Sementara itu, menurutnya, dua pertiga lagi penduduk yang tidak mendaftar kini mempunyai kebimbangan tambahan sama ada maklumat peribadi mereka mungkin bocor atau dicuri.

“Kerajaan telah berulang kali menggunakan alasan ancaman kehilangan subsidi bagi meminta orang ramai mendaftar untuk PADU. Bagaimanapun, ia juga berdegil memekakkan telinga terhadap isu keselamatan PADU, dengan tidak menghiraukan kebimbangan rakyat tentang kebocoran data peribadi atau kecurian identiti selepas mendaftar dengan PADU.

“Kerajaan tetap tidak mahu mengakui bahawa rancangannya telah gagal dan kini menggunakan pendaftaran PADU automatik untuk rakyat Malaysia – ini bersamaan dengan merisikokan data peribadi setiap orang.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, menurutnya perlu menjelaskan sama ada mahu mengakui projek itu telah gagal kerana tidak kira mendaftar atau tidak, semua orang akan “diPADUkan” pada akhirnya.

“Jika akaun anda telah digodam atau maklumat peribadi dibocorkan atau diselewengkan, adakah kerajaan akan bertanggungjawab?” soalnya lagi.

Soalnya lagi sebagai tambahan kepada RM80 juta yang dibelanjakan untuk projek pendaftaran PADU, berapakah jumlah modal insan, sumber material dan kos kewangan keseluruhan projek ini daripada penggubalan, pembangunan sehinggalah promosi.- MalaysiaGazette