KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengumumkan jumlah terkini pengambilan guru baharu dalam masa terdekat.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia merupakan usaha untuk menangani kekurangan guru dalam negara yang dibangkitkan sejak tahun lalu.
“Pengumuman lantikan baru akan diumum April ini. Saya tidak fikir ia masalah yang tidak boleh ditangani kerana dari segi perancangan dan unjuran kita, ia berlaku dengan sangat baik begitu juga dengan kemasukan guru yang kita latih dan untuk mengisi setiap kekosongan itu.
“Jadi tidak timbul ia suatu perkara yang tidak boleh diselesaikan cuma kita akan ambil kira isu-isu unjuran bersama Sekolah Berasrama Penuh (SBP) supaya ia dapat unjuran yang lebih tepat dan pengisian itu dapat berlaku dengan segera,” katanya ketika ditemui di Majlis Iftar Si Burung Kecil, Ramah Mesra Bersama-sama Pengamal Media di Dewan Kompleks Seri Bintang hari ini.
Turut hadir meraikan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Menurut Fadhlina, KPM sehingga kini secara konsisten memastikan sejumlah guru baharu dilantik bagi mengisi kekosongan yang ada meskipun belum menampung jumlah keseluruhan.
“Setiap kali pengambilan kita tidak pernah sikit-sikit maknanya setiap kali kekosongan pengambilan itu ada unjuran-unjurannya namun kita kena ingat setiap bulan ada cikgu yang akan bersara. Alhamdulilah setakat ini kita dapat penuhi kekurangan itu dengan unjuran dan kerjasama daripada SBP,” jelasnya.
Baru-baru ini, KPM memaklumkan telah melantik 20,171 guru baharu secara lantikan tetap dan kontrak bagi mengatasi isu kekurangan guru di sekolah pada tahun lepas.
Jumlah lantikan tersebut merupakan pencapaian tertinggi pernah dicapai kementerian berkenaan sebelum ini.
Mengulas mengenai penganjuran program pada hari ini, Fadhlina berkata, Majlis Iftar Si Burung Kecil merupakan penghargaan untuk kanak-kanak yang baru belajar berpuasa pada tahun ini.
“Konsep majlis ini sangat penting kerana ia adalah berkait rapat dengan program yang memberikan semangat kepada anak-anak yang sedang berlatih berpuasa.
“Ini sangat penting untuk kita masyarakat, ibu bapa dan guru-guru dalam memberikan dorongan kepada mereka kerana merka dalam tempoh sedang berlatih berpuasa,” katanya lagi.-MalaysiaGazette