Pelajar tahfiz tekun membaca ayat suci al-Quran bagi mengambil peluang beribadah pada hari ketujuh bulan Ramadan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 29 MAC 2023.

SURAH al-Baqarah adalah surah kedua dalam al-Quran. Ia merupakan surah terpanjang dalam al-Quran, dengan jumlah ayat dua ratus lapan puluh enam ayat. Surah ini merangkumi hampir dua juzuk setengah. Ia diturunkan di Madinah dan merupakan salah satu surah Madaniyah yang mengandung banyak hukum dan peraturan untuk membimbing umat Islam dalam kehidupan sehari-hari.

Selain itu, surah ini juga membahas tentang tiga kategori manusia iaitu Muslim, kafir dan munafik. Banyak ayat dalam surah ini membahas tentang ciri-ciri dan perbezaan antara ketiga kategori manusia ini. Ayat-ayat tersebut memberi pengajaran dan peringatan kepada umat Islam tentang pentingnya iman yang teguh, ketekunan dalam menjalankan ajaran agama, serta menjauhi sikap kufur dan munafik yang dapat menghalangi mereka dari mencapai kebahagian dan keberkatan dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.

Penetapan nama-nama surah dalam al-Quran telah ditentukan oleh Allah SWT berdasarkan sesuatu yang terdapat di dalam surah tersebut. Demikian dengan surah ini yang mana Allah SWT telah menamakan surah al-Baqarah kerana di dalam surah ini ada mengisahkan tentang kisah lembu sapi Ketika mana Bani Israel diperingatkan untuk menyembelih seekor sapi merah sebagai satu bentuk taubat bagi mereka. Selain itu, surah ini juga membahas tentang berbagai aspek kehidupan manusia, seperti hukum-hukum agama, ajaran moral, petunjuk kehidupan berkeluarga, ekonomi mahupun politik.

Sheikh Dr. Solah al-Khalidi -rahimahullahu- dalam penulisannya bertajuk Ta’rīf ‘Ãm bi Suwar Al-Quran, menyebutkan bahawa surah al-Baqarah bersama dengan surah Ali Imran, kedua-duanya digelar ‘Az-Zahrawān’ oleh Rasulullah SAW. Az-Zahrawān secara bahasanya bererti ‘dua yang bercahaya’ atau ‘dua yang cerah’. Kelebihan kedua-dua surah ini ialah dapat memberi naungan dan teduhan kepada kaum Mukmin pada hari Kiamat kelak. Sabda Rasullah SAW: “Bacalah al-Quran, kerana ia akan datang sebagai syafaat pada Hari Kiamat kepada pembaca-pembacanya”.

Bacalah az-Zahrawan; dua yang menerangi; Surat al-Baqarah dan Surah Āl-Imrān, kerana mereka akan datang sebagai dua awan, dua warna, atau dua kawanan burung dalam barisan, mempertahankan orang-orang yang membaca mereka (surah), pada Hari Kiamat. Bacalah surat al-Baqarah, kerana membacanya adalah rahmat, meninggalkannya adalah penyesalan, dan ahli sihir tidak dapat mengatasinya.

Jelas daripada hadis ini menunjukkan kelebihan membaca surah al-Baqarah dan Al-Imran mempunyai kelebihan yang hebat. Bahkan ada keistimewaan lain juga pada surah ini yang mana dapat menjadi pendinding kepada sihir. Penyihir tidak mampu melawannya sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang lepas. Abdullah Ibnu Mas’ud meriwayatkan sabda Rasululllah SAW: “Barang siapa membaca sepuluh ayat daripada surah al-Baqarah pada satu malam maka rumah tersebut tidak akan dimasuki syaitan pada malam tersebut sehingga pagi iaitu empat ayat awal surah al-Baqarah, ayat al-Kursi, dua ayat selepasnya dan tiga ayat terakhir di dalam surah al-Baqarah”. [Riwayat Imam al-Darimi]. Walaupun hadis ini statusnya mawquf (sanad tidak bersambung), namun ulamak membenarkan untuk beramal dengannya dalam perkara-perkara fadhail.

Penurunan surah ini berlangsung selama 10 tahun di Madinah, sehingga beberapa ayat telah diturunkan selepas Hijrah. Terdapat satu ayat dari surah ini menjadi penutup al-Quran yakni ayat yang terakhir diwahyukan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Ayat terakhir tersebut berada pada ayat ke 281, firman Allah SWT: ”Dan peliharalah dirimu dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya (dirugikan)”.

Kata Sheikh Solah -rahimahullah- lagi, sesungguhnya surah al-Baqarah ini sentiasa ”terbuka”; selama 10 tahun tersebut dengan penurunan ayat-ayat baharu,bahkan ada kesinambungan antara kedua-dua ayat-ayat lama dan juga ayat baharu tanpa ada pemisahan atau perbezaan. Ini merupakan salah satu kaedah tematik (koheren) yang terdapat dalam surah-surah al-Quran.

Ia bermaksud al-Quran terdiri daripada berbagai surah yang diturunkan dalam tempoh waktu yang berbeza dan juga dalam konteks yang berbeza. Namun keseluruhan isi al-Quran bersatu dalam menyampaikan keterangan-keterangannya secara konsisten. Ini menunjukkan bahawa setiap surah, meskipun mungkin berbeza dari sudut panjang atau pendeknya surah, berbeza sruktur atau bahasanya, namun ia tetap mengandungi tema-tema yang serupa dan saling melengkapi satu sama lain.

Tambahnya juga, tema utama surah ini adalah ‘Khilafah’ kerana dikatakan surah ini  berkaitan isu pengkhilafahan iaitu perlantikan sebagai khalifah muka bumi. Pada permulaannya ia menceritakan tentang pengkhalifahan Bani Adam a.s sebagai khalifah di atas muka bumi. Namun dek kerana kejahatan dan kerosakan yang mereka telah lakukan, akibatnya mereka telah terlucutnya jawatan Khalifah tersebut.

Manakala pada bahagian kedua daripada surah ini, bermula dari ayat 143, ia membahaskan tentang pengkhilafahan atau perlantikan umat Muslim sebgai khalifah dengan memegang tampuk kekhalifahan di atas muka bumi. Ia adalah satu penghormatan besar kepada umat Islam pada hari ini dan harus dipertahankan. Jelas melalui surah ini Allah SWT telah pun menetapkan ‘Manhaj’ sebagai khalifah dalam menjalankan tanggungjawab tersebut dalam isu kepercayaan, ekonomi, akhlak, undang-undang, ibadah dan jihad.

Maka dengan penjelasan tersebut, kita dapat simpulkan bahawa surah ini adalah surah bertemakan kekhalifahan. Sehubungan itu, surah al-Baqarah juga mengandungi banyak seruan supaya kita berfikir, merenung dan memahami ajaran agama dengan baik. Ia menunjukkan bahawa pentingnya ada keimanan yang teguh, keadilan dan keberanian dalam menghadapi cabaran hidup. Surah ini juga banyak dengan doa-doa yang diajarkan oleh Allah SWT kepada umat Islam.

Secara keseluruhan, surah al-Baqarah merupakan surah yang sangat penting dalam al-Quran yang mana ia menyediakan panduan komprehensif bagi umat Islam dalam menjalani kehidupan mereka dengan benar dan sesuai dengan ajaran Islam. Surah ini menekankan pentingnya keimanan, ketaatan, dan ketakwaan kepada Allah SWT, serta memberikan petunjuk yang jelas tentang bagaimana menjalani kehidupan yang baik dan bermanfaat untuk diri sendiri dan masyarakat. Semoga kita diberi kekuatan untuk beramal dengan segala ilmu dan pelajaran daripada surah ini.

Abdul Hadi Abd Aziz
Jabatan Bahasa Antarabangsa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast