DALAM kehangatan menikmati ke-10 hari terakhir Ramadan tahun ini, kita dikejutkan dengan peristiwa kepala babi yang ditemui berhampiran sebuah masjid di Perancis. Menteri dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin mengutuk sekeras-kerasnya tindakan itu yang menghina agama lain dan boleh mencetuskan rasa tidak harmoni dalam masyarakat. Tindakan seperti ini pastinya boleh kita baca sebagai tindakan provokatif yang dilakukan untuk mencetuskan rasa benci dan tidak selesa antara agama. Malah tidak keterlaluan dikatakan ada unsur Islamofobia dalam minda si pelaku yang melihat Islam agama yang menakutkan apatah lagi dalam bulan Ramadan yang ramai umat Islam berkumpul di masjid untuk fokus beribadah.
Perancis adalah salah satu negara di Eropah yang dilihat mempunyai sentimen Islamofobia yang tinggi selain Jerman dan United Kingdom. Pelbagai isu melingkari ketakutan terhadap Islam ini termasuklah isu imigrasi, isu integrasi dan isu keselamatan yang dikaitkan dengan persepsi terhadap Islam dan umat Islam. Perancis dilaporkan antara negara yang sering dikaitkan dengan Islamofobia. Sebagai sebuah negara sekular, ada yang melihat inilah faktor yang membawa kepada stigma dan kepinggiran umat Islam di negara ini. Antaranya melibatkan diskriminasi, prejudis dan ketakutan terhadap Islam itu sendiri. Misalnya, serangan teroris Islam di Perancis membawa kepada sentimen Islamofobia yang membawa kepada budaya ketakutan dan ketidakpercayaan hingga menyalahkan individu-individu muslim lain yang tidak berkaitan.
Isu-isu lain yang berlaku di Perancis yang membawa kepada ketakutan terhadap Islam antaranya ialah peraturan dalam pemakaian hijab di tempat umum termasuk di sekolah dan pejabat kerajaan. Insiden ini membawa kepada perdebatan hangat dari aspek kebebasan beragama. Selain itu, protes juga pernah berlaku terhadap pembinaan masjid di beberapa bandar di Perancis yang menandakan wujudnya ketegangan dan penolakan terhadap Islam dalam masyarakat setempat. Selain itu, ada juga laporan berlakunya diskriminasi terhadap umat Islam dalam pasaran pekerjaan.
Ada yang ditolak permohonan kerja hanya kerana dia seorang Muslim. Penderaan verbal, mencederakan dan vandalisme di masjid masjid di Perancis juga menunjukkan sikap tidak toleransi dan prejudis masyarakat bukan Islam di Perancis kepada umat Islam. Malah, kontroversi juga berlaku tentang label makanan halal yang dijual di Perancis. Namun, Kerajaan Perancis turut mengambil tindakan untuk meningkatkan kesepaduan sosial di negara itu dan cuba mengurangkan kesan Islamofobia. Misalnya, dialog antara agama dianjurkan dengan hasrat mengintegrasikan komuniti yang terpinggir.
Program seperti ini dkatakan membawa kesan positif dari segi mempromosi empati dan meningkatkan kefahaman tentang perbezaan yang boleh diraikan dalam masyarakat yang pelbagai. Selain itu, institusi pendidikan turut memainkan peranan dengan menganjurkan program program seperti bengkel untuk meningkatkan inklusiviti masyarakat Islam dengan masyarakat lain di Perancis dalam usaha mengurangkan stereotaip dan prejudis. Program seperti ini boleh memberi impak jangka panjang dari segi perubahan sosial melalui pemupukan pemikiran kritikal dan empati. Program program lain termasuklah projek libatsama komuniti yang bertujuan untuk meningkatkan hubungan sosial antara masyarakat. Di samping itu, kerajaan juga mengimplementasikan polisi untuk menyokong integrasi dalam masyarakat menerusi kelas kelas bahasa, latihan pekerja serta program pendidikan untuk pemastautin.
Apa yang dapat kita pelajari daripada “ketakutan” Perancis ini ialah keperluan untuk umat Islam bersama-sama menyampaikan mesej tepat tentang Islam kepada dunia. Dalam pada itu, sikap umat Islam haruslah mencerminkan atau selari dengan ajaran Islam yang suci. Dengan kombinasi itu, maka dapatkan kita sama-sama mengurangkan Islamofobia sama ada di Perancis atau di mana-mana bahagian di dunia ini. Kita harus bergerak bersama-sama menayangkan kebaikan dan kesepaduan kita, agar terpancar ajaran Islam yang sebenar dan tidak disalahtafsir. Semoga Ramadan kali ini membawa lebih banyak sinar untuk umat Islam diserata dunia, berkat usaha dan kesabaran semua menangani isu Islamofobia yang telah berakar umbi sejak sekian lama.
Dr Siti Suriani Othman
Pensyarah Kanan
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia