Ahmad Kamal Akbar (baju putih) didakwa atas tujuh pertuduhan menipu membabitkan jumlah kerugian RM580,000.

BUTTERWORTH – Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tujuh pertuduhan menipu seorang lelaki melibatkan kerugian berjumlah RM580,000, enam tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Kamal Akbar Ramin@ Abd Rahim, 54, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah menipu seorang lelaki berusia 53 tahun untuk menyertai  projek pembinaan tidak wujud dengan mendorong mangsa menyerahkan tujuh cek berjumlah RM580,000 atas nama sebuah syarikat.

Projek itu adalah pelaburan perumahan rakyat (PPR) berbilang tingkat yang tidak wujud di Mukim Kuantan dan projek 71 unit rumah kedai di Golf Garden, Jawi.

Ahmad Kamal Akbar dibenarkan ikat jamin RM56,000.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Perniagaan Tasek Gelugor, Tasek Gelugor pada 8 dan 24 September 2018, antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.20 petang.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak lebih 10 tahun, sebat  dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Asma’ ‘Amira Shahidani memohon agar tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya meminta jaminan minimum atas alasan tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menangggung 10 cahaya mata serta isteri yang tidak bekerja.

Siti Zulaikha kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM56,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Kes akan disebut semula pada 26 Jun ini untuk lantikan peguam dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette