Ban Hong (tengah) melihat proses penghasilan serbuk kopi yang dilakukan dengan kaedah tradisional sejak 55 tahun lalu di Klebang Besar, Melaka.

MELAKA – Semua produk tempatan negeri yang dihasilkan secara tradisional khususnya kopi wajar disenaraikan sebagai tarikan baharu pelancongan Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, usaha itu juga dilihat dapat merancakkan lagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Menurutnya, ia juga dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran luar negeri.

“Seperti produk kopi Eastern sejak 1969 ini, ia mempunyai daya tarikannya yang tersendiri kerana dihasilkan melalui kaedah tradisional sejak 55 tahun lalu yang dapat menarik minat pelancong.

“Sebab itu, kita harap usahawan PKS ini dapat mewujudkan galeri menceritakan sejarah produk yang berkait rapat dengan ekonomi masyarakat setempat,” katanya.

Lim Ban Hong

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Kilang Serbuk Kopi Eastern di Klebang Besar, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Ban Hong berkata, di DUN Klebang sahaja, terdapat tiga pengeluar kopi tradisional yang sudah bertapak di situ sejak puluhan tahun lalu.

“Mungkin juga semua kilang ini boleh bergabung mewujudkan galeri kopi mereka di satu tempat bersama-sama produk tempatan lain sekali gus menjadikan Klebang ini tumpuan pelancongan makanan.

“Selepas melihat kejayaan itu, mungkin kita boleh bantu dapatkan geran daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk bantuan seterusnya,” katanya. – MalaysiaGazette