Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan kadar dasar semalaman (OPR) bukan alat untuk menguruskan kadar pertukaran ringgit.

Sebaliknya, BNM telah dan akan terus mengambil langkah-langkah bersepadu untuk menguruskan tekanan jangka pendek ke atas ringgit.

Ini termasuk meningkatkan lagi usaha bagi menggalakkan penghantaran balik dan penukaran pendapatan pelaburan yang diperoleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Selain itu menggiatkan libat urus BNM dengan syarikat dan pelabur serta terus memantau amalan pengimport dan pengeksport tempatan serta berbincang dengan mereka berhubung dengan sebarang trend luar biasa yang diperhatikan.

“GLC dan GLIC tidak dikehendaki untuk mencairkan pelaburan asing mereka bagi membawa balik hasil pertukaran asing ke Malaysia kerana BNM menggalakkan mereka untuk membawa balik pendapatan pelaburan pertukaran asing yang telah diperoleh secara lebih berkala,” katanya dalam kenyataan di sini.

BNM mengulas perbincangan mengenai prestasi ringgit dan alat yang boleh digunakan untuk memberikan sokongan, termasuk sama ada membuat pertimbangan untuk menaikkan OPR.

Isu ringgit antara yang dibincangkan oleh BNM dalam beberapa sesi libat urus yang dianjurkannya dengan pelbagai pihak berkepentingan sejak 20 Mac 2024 sempena penerbitan Laporan Tahunan 2023, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 dan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2023.

Libat urus ini bertujuan untuk membuat perkongsian mengenai penilaian BNM berhubung dengan ekonomi dan sektor kewangan Malaysia serta mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan BNM.

Libat urus ini melibatkan kementerian dan agensi Kerajaan, kor diplomatik, industri perbankan, insurans dan takaful serta pembayaran, ahli ekonomi, penganalisis perbankan dan pengurus dana, perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS)
dan juga media.

BNM menegaskan pada masa ini ringgit berada di bawah nilai saksama disebabkan kenaikan kadar dasar yang lebih besar di negara-negara lain berbanding dengan Malaysia merupakan salah satu faktor utama yang menyebabkan penurunan nilai ringgit.

Dalam tempoh jangka panjang, kadar pertukaran adalah berteraskan asas-asas dalam negeri.

Daripada aspek ini, asas-asas ekonomi Malaysia adalah kukuh, terbukti menerusi penunjuk ekonomi utama pada tahun 2023 dan unjuran bagi tahun 2024.

BNM berkata, pelaksanaan pelan-pelan peringkat nasional dan pembaharuan struktur lain secara berkesan akan memperkukuh daya saing dan keupayaan pengeluaran Malaysia, lantas memberikan sokongan yang berpanjangan terhadap ringgit.

Pada masa hadapan, pihak penganalisis turut menjangkakan bahawa nilai ringgit akan meningkat berikutan kesan
faktor-faktor global yang semakin reda.

Tambah bank pusat itu, rizab antarabangsa Malaysia mencukupi dan memadai untuk membiayai 5.4 bulan import barangan dan
perkhidmatan dan 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek setakat 15 Mac 2024. Rizab antarabangsa BNM boleh digunakan
sekiranya perlu.

Walau bagaimanapun, BNM terus melakukan tindakan ini sewajarnya.

Selain itu, desentralisasi rizab antarabangsa Malaysia yang dilakukan sejak sekian lama telah menghasilkan pengumpulan aset
luaran bukan rizab yang agak besar.

Bank-bank dan syarikat-syarikat korporat tempatan memegang lebih tiga perempat daripada aset luar negeri Malaysia.

Aset ini boleh digunakan untuk memenuhi obligasi hutang jangka pendek mereka tanpa perlu membuat tuntutan terhadap
rizab antarabangsa, ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast