Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin beramah mesra bersama media ketika Majlis Berbuka Puasa Kementerian Pertahanan Bersama Pengamal Media di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 03 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 120 tempat akan diperuntukkan oleh Pharmaniaga Berhad kepada graduan anak-anak anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Pharmagrad.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan itu untuk bidang-bidang seperti farmaseutikal, biomedikal, kimia, kajian dan pembangunan, kejuruteraan, logistik, teknologi maklumat dan kewangan.

Katanya, mahasiswa tersebut akan berpeluang menjalani latihan industri selama lapan bulan bersama-sama dengan Pharmaniaga.

Selain itu, mereka juga ditawarkan untuk Professional Training and Education for Growing Enterprenuers (Latihan dan Pendidikan Profesional untuk Usahawan yang Berkembang) – Ready To Work (bersedia untuk bekerja) atau Protege – RTW dengan kerjasama BHPetrol.

“Protege-RTW ini merupakan satu program yang menggabungkan beberapa rangkaian inisiatif bagi meningkatkan potensi kebolehpasaran graduan dan kemahiran keusahawanan dalam kalangan graduan menganggur.

“Ia terbuka kepada graduan anak-anak ATM dalam semua bidang,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media, di sini, hari ini.

Menurut Mohamed Khaled lagi, program berkenaan akan melibatkan, antara lain, latihan penempatan dan bimbingan bersama syarikat-syarikat yang terlibat dalam tempoh lapan hingga 12 bulan.

Katanya, antara syarikat yang menyertai program itu adalah syarikat-syarikat penerima perolehan kerajaan dan syarikat-syarikat swasta.

“BHPetrol akan memperuntukkan 22 tempat setiap tahun untuk tempoh tiga tahun dengan jumlah keseluruhan sebanyak 66 penempatan.

“Pemilihan calon akan dibuat berdasarkan kriteria yang telah digariskan mengikut kesesuaian. Bilangan ini akan disemak semula mengikut keperluan pada tahun-tahun yang akan datang.

“Harapan kita, melalui rangkaian program ini, agenda kebajikan ATM dan keluarga bukan sahaja akan diperkemas. Namun, dipelbagaikan dengan pendekatan-pendekatan yang lebih inovatif dan bersesuaian dengan kumpulan sasar,” ujarnya. – MalaysiaGazette