Salwan Momika. - Foto FB Salwan Momika.

OSLO – Unit Polis Imigresen (PU) Norway tidak mempunyai sebarang maklumat bahawa pelarian warga Iraq, Salwan Momika yang membakar al-Quran tahun lalu ditemui mati di negara itu.

Media Norway, Document melaporkan, pihak berkuasa telah menyangkal khabar angin yang disebarkan di media sosial.

“PU tidak mengetahui sesiapa dengan nama di atas telah meninggal dunia di Norway baru-baru ini,” menurut akhbar dalam talian selepas dimaklumkan oleh jabatan komunikasi PU.

Sejak kelmarin tular di Twitter kononnya mayat Momika, 37, ditemui di negara tersebut.

Sebelum ini pejabat pendakwa raya Iraq telah mengeluarkan waran tangkap menerusi Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) terhadap Momika yang bertindak membakar al-Quran di Sweden, Stockholm pada akhir Jun 2023.

Insiden membakar al-Quran di Stockholm telah mencetuskan kecaman di seluruh dunia.

Iraq telah menyeru pihak berkuasa Sweden untuk menghantar pulang individu yang bertanggungjawab atas kejadian itu.

Ramai ketua negara, termasuk setiausaha agung Liga Arab dan ketua Majlis Kerjasama Teluk, telah mengecam perbuatan itu.

Momika yang beragama Kristian dari daerah Al-Hamadaniya, Mosul baru-baru ini mengumumkan di akaun X bahawa dia akan melancong ke Norway dan mahu memohon suaka.

“Saya berpindah ke negara yang mengalu-alukan saya dan menghormati saya. Sweden tidak menghormati saya,” kata Momika, sambil menambah bahawa dia sudah memasuki Norway dan dalam perjalanan ke ibu negara, Oslo.

Momika menggelar kebebasan bersuara Sweden dan perlindungan hak asasi manusia sebagai ‘pembohongan besar.

Kerajaan Sweden mengecam pencabulan terhadap al-Quran tetapi menyatakan bahawa negara itu mempunyai undang-undang mengenai kebebasan bersuara dan berhimpun.

Pada bulan Oktober, pihak berkuasa Sweden membatalkan permit kepada Momika, mengatakan dia telah memberikan maklumat yang salah dalam permohonannya dan akan dihantar pulang ke Iraq.

Tetapi pengusirannya ditangguhkan kerana kebimbangan keselamatan. Menurut Momika, nyawanya mungkin terancam jika dipulangkan ke tanah air. – Agensi