SINGAPURA – Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar, mengingatkan rakyat Malaysia termasuk mereka yang bekerja di sini supaya sentiasa peka dengan perkembangan undang-undang negara ini.
Ia penting bagi mengelak kesulitan kepada diri sendiri dan keluarga sekiranya ditahan dan disiasat pihak berkuasa Singapura.
“Saya harap semua orang sentiasa mengambil tahu perkembangan terkini undang-undang Singapura. Kebelakangan ini ramai yang ditahan kerana membawa vape dan sebagainya.
“Apabila disiasat, pasport dirampas dan mereka tidak boleh pulang ke Malaysia, sekali gus menimbulkan banyak masalah dan kadangkala apabila majikan mendapat tahu, mereka akan diberhentikan serta-merta,” katanya ketika berucap pada majlis Berbuka Puasa di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, di sini, malam ini.
Majlis anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia itu dihadiri lebih 80 rakyat Malaysia yang majoritinya adalah pekerja di negara ini.
Vape adalah haram di Singapura, malah menjadi satu kesalahan jika memiliki, membeli atau menggunakan e-vape dan komponen berkaitannya.
Pesalah boleh didenda sehingga S$2,000 (RM7,000) bagi setiap kesalahan.
Malah, ia juga merupakan satu kesalahan untuk menjual, memiliki untuk dijual, mengimport atau mengedar e-vape dan komponen berkaitannya.
Pesalah boleh didenda sehingga $10,000, atau dikenakan penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, dan denda sehingga $20,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya untuk kesalahan kedua atau berikutnya. – BERNAMA