MELAKA – “Sejak berniaga di sini dua tahun lalu, belum pernah jualan merosot sebegini teruk sampai nak dapat RM200 sehari pun susah berbanding dulu lebih RM1,000,”.
Itu keluhan peniaga bunga api dan mercun, Ashwad Abd Rahim, 32, apabila khemah jualan dibuka di tepi jalan besar di hadapan Pasar Borong Batu Berendam, di sini, sejak dua minggu lalu terus sepi.
Menurutnya, keadaan itu jauh berbeza dengan dua tahun lalu yang pernah merekodkan jualan sehingga lebih RM1,000 sehari bermula pukul 3 petang sehingga 3 pagi.
“Salah satu faktornya mungkin pengguna sudah beralih kepada pembelian kombo secara dalam talian yang lebih murah walaupun berisiko terbeli mercun atau bunga api stok lama yang belum tentu selamat digunakan.
“Saya harap pihak berkuasa dapat memantau perkara ini kerana ia tidak adil kepada peniaga seperti saya yang mempunyai permit jualan,” katanya yang menjual lebih 36 jenis mercun dan bunga api sehingga hari raya ke tiga.
Pandangan sama dikongsikan peniaga di Klebang yang hanya mahu dikenali Faiz mendakwa kuasa membeli berkurangan mungkin berpunca daripada harga barang keperluan yang semakin meningkat.
“Berbanding dua tahun dulu, mungkin waktu itu ibu bapa sanggup berhabis duit kerana dua tahun tak dapat beraya disebabkan pandemik Covid-19.
“Faktor lain pula mungkin mereka sudah banyak berhabis wang untuk keperluan penggal persekolahan anak yang baru dibuka 10 Mac lalu,” katanya.
Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati rata-rata pelanggan hanya membeli bunga api atau mercun yang berharga antara RM10 hingga RM30 dalam kuantiti yang sedikit. – MalaysiaGazette