Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyampaikan sumbangan pada Majlis Edaran Pek Hari Raya kepada Penumpang KTMB di KL Sentral, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 05 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Keanggotaan sebagai pemimpin dalam kerajaan tidak bermaksud mereka tidak boleh disoal siasat oleh polis.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, buktinya bekas pemimpin DAP iaitu Lim Kit Siang juga pernah dipanggil polis untuk disiasat.

Katanya, DAP tidak menimbulkan sebarang pertikaian apabila  polis mengambil tindakan sedemikian terhadap Kit Siang.

“Lim Kit Siang juga telah disoal siasat oleh polis. Tak bermakna mereka dalam kerajaan, anggota parti dalam kerajaan, anda tak boleh disoal oleh polis.

“Lim Kit Siang pun telah disoal siasat oleh polis. Kami tidak timbulkan apa-apa,” kata Anthony dalam sidang media selepas beramah mesra dan mengedarkan 1,000 pek cenderahati kepada penumpang tren ETS dan KTM Komuter di Stesen KL Sentral hari ini.

Beliau ditanya kemungkinan berlaku perbalahan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan beriktutan siasatan oleh polis ke atas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh pagi tadi.

Media hari ini melaporkan, Dr. Muhamad Akmal ditahan oleh polis sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dari Kuala Lumpur.

Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu dijadualkan untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Sabtu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata Ketua Pemuda UMNO itu ditahan untuk siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Beliau berkata, Exco Melaka itu ditahan sepasukan polis sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa, Kota Kinabalu, Sabah pagi ini susulan dua laporan polis terhadapnya berhubung isu stoking tertera kalimah Allah.

Pada 13 Disember tahun lalu, polis merekod keterangan Kit Siang berhubung kenyataannya berkaitan kemungkinan orang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri.

Keterangan Kit Siang diambil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Balai Polis Sea Park.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast