Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyampaikan sumbangan pada Majlis Edaran Pek Hari Raya kepada Penumpang KTMB di KL Sentral, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 05 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Projek menaik taraf kemudahan infrastruktur landasan Kereta Api Berkembar Elektrik Lembah Klang 1 (KVDT 1) telah selesai sepenuhnya pada 31 Mac lalu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, KVDT1 merangkumi penyiapan kerja-kerja landasan dan infra di sektor Rawang dan KL Sentral.

“Ini menjadikan frekuensi larian tren kepada 15 minit semasa waktu puncak pagi bagi laluan Tanjung Malim – KL Sentral dan puncak petang KL Sentral – Tanjung Malim boleh diadakan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sementara itu menurut beliau, projek KVDT 2 akan bermula pada hujung bulan ini.

Katanya, landasan sepanjang 44 kilometer dari Simpang Pelabuhan Klang (SPK) ke Pelabuhan Klang ditutup pada 29 April.

“Perkembangan ini memberi perubahan kepada jadual waktu semasa sektor KVDT yang akan berkuatkuasa mulai 20 April 2024 bagi jadual perjalanan untuk hari minggu dan kelepasan am dan 22 April 2024 untuk jadual perjalanan hari bekerja,” kata beliau.

Katanya, kekerapan ketika ini iaitu satu tren bagi setiap 60 minit namum melalui jadual baharu selepas 20 April membenarkan kekerapan 15 minit pada waktu puncak 7 pagi hingga 9 pagi melibatkan tujuh trip dari Tanjung Malim ke KL Sentral.

Bagi waktu puncak 5 petang hingga 7 petang, kekerapan perjalanan setiap 15 minit dari KL Sentral ke Tanjung Malim melibatkan 6 trip.

“Ini akan memudahkan perjalanan pekerja-pekerja yang menggunakan KTM Komuter laluan KL Sentral dan Tanjung Malim,” katanya dalam sidang media.

Menurut Anthony, menjelang Jun bilangan kekerapan perkhidmatan tren bagi laluan tersebut akan ditingkatkan.

Beliau sebelum itu beramah mesra dengan penumpang tren ETS dan KTM Komuter di Stesen KL Sentral dan menyerahkan 1,000 pek cenderahati.

Program tahunan KTMB itu sebagai tanda terima kasih dan menghargai sokongan para penumpang yang menggunakan perkhidmatannya khusus pada musim perayaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast