KUALA LUMPUR – Sejumlah 47 isu perpaduan berkaitan 3R (agama, raja dan kaum) direkodkan berlaku hanya pada suku pertama pada tahun ini terutama melibatkan isu agama, kenyataan berbaur kebencian dan perkauman.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, jumlah itu didapati meningkat 123 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 21 isu berkaitan yang dikesan menerusi sistem e-Sepakat.
Sistem e-Sepakat ini merupakan pusat pengumpulan data utama bagi pengurusan isu perpaduan sebagai mekanisme gerak kerja pengesanan, pemantauan dan pelaporan isu tersebut secara digital.
Manakala statistik laporan isu pergaduhan kaum yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 162 kes di seluruh negara dengan Johor merekodkan kes tertinggi sebanyak 53, Selangor (34) dan Pulau Pinang (23).
Selain itu, sebanyak 1,454 kandungan berkaitan 3R diturunkan dari platform media sosial sejak Januari hingga 31 Mac lalu yang direkodkan pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) yang mengandungi ucapan kebencian kaum (588 kes); ucapan kebencian agama (727) dan ucapan kebencian institusi diraja (139).
“Sebagai sebuah negara yang memiliki kepelbagaian latar belakang, sikap hormat menghormati dan tolak ansur perlu berada pada tahap yang tinggi. Sikap ini perlu dihayati oleh setiap lapisan masyarakat di setiap peringkat. Pemahaman adalah kunci pada suatu penerimaan yang akan menepis segala kegusaran tersebut.
“Maka, menjadi kemestian bagi setiap dari kita untuk memahami budaya, bahasa, agama dan cara hidup setiap kaum yang ada di negara ini. Apabila kita saling memahami, maka ruang untuk saling menerima dan bertoleransi akan terbuka lebih luas serta jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan.
“Secara tidak langsung, tentunya ini dapat memupuk semangat kesatuan dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini.
Aaron menambah, keharmonian perlu dipelihara, dipupuk dan diterapkan dalam diri bermula daripada diri sendiri dan kemudian diwariskan kepada generasi seterusnya.
“Kita semua perlu ingat, setiap daripada kita bertanggungjawab dan berperanan dalam menjaga keharmonian, kedaulatan, keamanan dan keselamatan negara yang dicintai,” ujarnya.
Tambah beliau, Kementerian Perpaduan Negara bukanlah sebuah agensi penguatkuasaan tetapi sebaliknya antara agensi sokongan yang sentiasa membantu pihak berkuasa seperti PDRM, SKMM serta Majlis Keselamatan Negara dalam pengurusan isu perpaduan.
Bagaimanapun, kadangkala masyarakat awam tidak mengetahui tentang ini dan beranggapan KPN boleh mengambil tindakan terhadap isu-isu perpaduan khususnya isu 3R.
“Walaupun KPN tiada kuasa atau peruntukan khas seperti akta untuk mengambil tindakan-tindakan dari segi perundangan, tetapi Kementerian melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional berperanan penting dalam membantu mengurus isu perpaduan,” jelas beliau. – MalaysiaGazette