Orang ramai mengambil peluang cuti hujung minggu membawa keluarga keluar membeli pakaian raya untuk menyambut Aidilfitri pada 10 April depan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Beli Belah Sogo, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 31 MAC 2024.

PEJABAT Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dalam satu kenyataan baru-baru ini telah memaklumkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Syawal 1445H ialah pada petang Selasa, 9 April 2024. Lagu hari raya versi baharu atau yang klasik malar segar semakin rancak diputarkan di corong-corong radio manakala trend penghasilan iklan hari raya juga semakin menjadi sesuatu yang ‘wajib’ ada kini dan ditunggu.

Tidak dinafikan ibu-bapa semestinya golongan yang paling sibuk menyediakan segala keperluan pakaian baharu untuk anak-anak dan lebih memeningkan persiapan untuk memasuki sesi baharu persekolahan dan hari raya agak dekat. Justeru pastinya perbelanjaan kewangan yang lebih tinggi tidak dapat dielakkan. Ada yang memilih untuk mengutamakan persekolahan dan mengorbankan persiapan raya. Namun begitu dalam keterujaan menyambut Aidilfitri, kita perlu beringat dan berhati-hati kepada beberapa perkara supaya tidak menimbulkan penyesalan di kemudian hari.

Pertamanya adalah sentiasa berhati-hati dalam berbelanja, elakkan berbelanja sakan sehinggakan barangan yang tiada keperluan pun dibeli atas dasar mengikut-ngikut sahaja atau sikap sendiri yang ‘tidak mahu kalah’ dalam persiapan menyambut hari raya. Walaupun sudah di saat akhir, masyarakat masih lagi sibuk dalam mencari persiapan raya atas pelbagai faktor antaranya kekangan masa sebelum ini atau sememangnya menanti harga ‘junam’ dari peniaga. Keluhan masyarakat terhadap peningkatan harga barangan keperluan dan lain-lain di pasaran tidak dapat kita nafikan malahan sebelum Ramadan lagi sudah kedengaran.

Dalam laporan di media, para peniaga juga mengakui kuasa beli rakyat sekarang sudah berkurang sekaligus memberi kesan kepada mereka. Pakar ekonomi sendiri melihat bahawa masalah peningkatan kos sara hidup dan inflasi yang dirasai hari ini adalah perkara besar yang tidak dapat dielakkan kerana ia berlaku mengikut peredaran zaman.

Apabila ditekankan soal berjimat cermat, janganlah timbul salah faham sampai tidak mahu berbelanja langsung sehingga tahap mencatu barangan keperluan. Apa yang perlu difahami dalam urusan berbelanja seharian, Islam sudah memberi panduan dan nasihat yang jelas iaitu elakkan supaya tidak terlalu boros dan tidak terlalu kedekut.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta taatilah; dan infakkanlah harta yang baik untuk dirimu. Dan barang siapa dijaga dirinya daripada kekikiran maka mereka itulah orang yang beruntung.” (Surah atTaghabun, ayat 16)

Keduanya adalah berhati-hati semasa perjalanan pulang ke kampung halaman untuk balik berhari raya. Lebuh raya utama pastinya akan menyaksikan peningkatan jumlah trafik yang tinggi menjelang sehari dua sebelum hari raya. Tidak hanya di lebuh raya utama sahaja, laluan jalan raya biasa atau ‘jalan dalam’ ini juga akan sesak. Bagi yang akan menempuh perjalanan yang jauh, pastinya kenderaan dan pemandunya perlu berada dalam keadaan terbaik dan masing-masing sudah siap ‘diservis’.

Ini kerana apabila tiba sahaja musim perayaan utama, pastinya angka kemalangan dan kematian di jalan raya akan meningkat berganda-ganda. Keseronokan dan kegembiraan yang diharapkan tetapi akhirnya yang tiba adalah berita kedukaan dan kesedihan. Masyarakat perlu peka berhubung isu-isu membabitkan keselamatan jalan raya supaya semua pengguna jalan raya mempunyai kesedaran dan bertindak sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

Pencegahan kemalangan jalan raya semasa musim perayaan adalah penting untuk menurunkan kes kemalangan yang berlaku pada waktu ini. Menurut Laporan Statistik Kemalangan Jalan Raya 2020 oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, terdapat sebanyak 4,634 kematian disebabkan oleh kemalangan jalan raya pada tahun tersebut. Daripada jumlah tersebut, 862 kematian berlaku semasa musim perayaan. Ini menunjukkan bahawa musim perayaan adalah masa yang lebih berisiko bagi pengguna jalan raya.

Keselamatan jalan raya bermula dari pengguna jalan raya itu sendiri, maka pengguna jalan raya perlulah memainkan peranan mencegah kemalangan untuk menurunkan kes kemalangan semasa hari perayaan. Sikap pemandu yang bijak dan berhemah amat penting untuk mengelakkan kemalangan jalan raya berlaku.

Aidilfitri sinonim dengan bermaaf-maafan dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim dengan ahli keluarga, sanak saudara mahupun sahabat handai. Justeru ketiganya perlulah berhati-hati dalam menjaga tutur kata, pergaulan dan perwatakan apabila ziarah-menziarahi nanti. Islam sangat menggalakkan budaya ziarah menziarahi antara umat Islam dan tidak terhad hanya ketika sambutan perayaan semata-mata. Namun, dalam mengamalkan tradisi ini, terutama ketika sambutan Aidilfitri, pastinya ada adab yang perlu dijaga oleh tetamu dan juga tuan rumah.

Pastinya kita tidak mahu hari yang sepatutnya mendekatkan satu sama lain tetapi menjadi punca kepada jauh dan putusnya hubungan akibat kesilapan dan ketelanjuran tutur kata dan sikap diri sendiri.

Diberi rezeki menyempurnakan persiapan Aidilfitri, selamat sampai ke kampung halaman dan masih memiliki ahli keluarga untuk meraikan Syawal secara bersama adalah satu nikmat besar yang Allah SWT berikan. Syukurilah dan selamat menyambut Aidilfitri, maaf zahir dan batin buat semua pembaca.

Mohd Zaini Othman
Penolong Pendaftar di Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast