Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – UMNO Selangor perlu melakukan perubahan atau akan kekal tanpa kuasa.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sudah lapan bulan sejak pilihan raya negeri (PRN) berlangsung namun UMNO Selangor tidak membuat sebarang tindakan.

“Selepas UMNO Selangor kalah teruk PRN Selangor, saya nyatakan bahawa ini adalah amaran terakhir untuk UMNO Selangor.

“Kalau keputusan PRN itu masih belum celikkan UMNO Selangor, tak ada apa yang boleh celikkan UMNO Selangor.

“Sekarang ini sudah 8 bulan lepas PRN, masih tak ada apa-apa. Post mortem mendalam? Tak ada. Strategi baru tawan hati rakyat? Tak ada,” keluh beliau.

Beliau yang meletakkan jawatan sebagai Bendahari UMNO Selangor pada 1 April lalu berkata, jika UMNO negeri tidak mengubah budaya, walau sebanyak mana pun perancangan dan visi yang ditetapkan, ia akan terus kekal tanpa kuasa.

Serentak itu beliau mencadangkan lima cara untuk mengembalikan kegemilangan UMNO di Selangor.

Katanya, UMNO Selangor perlu melaksanakan kajian sikap yang ikhlas yang melambangkan denyut nadi keseluruhan rakyat negeri itu.

“Kedua, perlu memodenkan operasi organisasi. Organisasi yang kos efektif, pantas berkomunikasi, terbuka dengan idea daripada akar umbi, meletakkan cadangan dasar sebagai keutamaan, mengguna pakai data dan analisa dengan tepat.

“Ketiga, mencari pelapis dengan hati yang terbuka. Ini penting kerana akhirnya, organisasi UMNO Selangor itu akan dihakimi rakyat dengan pemimpin yang ditonjolkan,” katanya melalui Facebooknya.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata UMNO Selangor perlu merangka kerjasama menang-menang dengan rakan di negeri itu.

“Kelima dan yang paling penting, kita perlu terapkan budaya politik baharu, sama ada budaya intelektual, fokus kepada solusi dan dasar serta buang cah keting,” katanya.

Tengku Zafrul menegaskan beliau masih komited dengan UMNO Bahagian Kota Raja dan UMNO Selangor kerana yakin semua ahlinya berkongsi impian yang sama iaitu untuk melihat UMNO Selangor kembali relevan dan dihormati rakyat.

Namun menurunya, ia muda dan perlu bekerja keras bagi mencapai matlamat tersebut.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast