Nur Ekmal Bukhary (dua dari kiri) dibantu kakitangan USIM bergotong royong membungkus bubur lambuk untuk diagih dalam Program Edaran Bubur Lambuk Komuniti USIM di Kompleks Sukan Tunku Najihah USIM, baru-baru ini.

NILAI- Bermula dari hanya satu periuk bubur lambuk pada 2013 yang dimasak secara bergotong royong untuk berkongsi rezeki kepada warga kampus sempena bulan Ramadan oleh Pusat Sukan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), kini komuniti sekitar universiti turut dapat merasai air tangan warga USIM ini sebagai juadah berbuka puasa.

Sebanyak 2,400 pek bubur lambuk berjaya disediakan oleh Pusat Sukan pada Rabu baru-baru ini sempena Program Edaran Bubur Lambuk Komuniti USIM untuk diagihkan kepada komuniti, surau dan anggota beruniform yang berada di sekitar Nilai serta kakitangan dan pelajar USIM.

Pengarah Pusat Sukan, Encik Nur Ekmal Buhary berkata, penyediaan bubur lambuk selaku juadah yang sinonim setiap kali bulan Ramadan ini masih mengekalkan tradisi penyediaannya secara bergotong-royong dari penyediaan bahan mentah, proses memasak, membungkus sehingga edaran kepada komuniti setempat.

“Bermula secara kecil-kecilan daripada satu periuk pada tahun pertama, menjadi empat periuk besar pada tahun ini.

“Kos kewangan sekitar RM4,000 bagi penyediaan bubur lambuk ini adalah sumbangan dari pelbagai pihak dari dalam dan luar universiti. Kita menerima banyak permintaan untuk menyumbang tetapi terpaksa menolak kerana perlu beri pertimbangan kepada kekangan logistik, tenaga kerja dan masa penyediaan.

“Tahun ini kita turut berjaya menyediakan satu periuk bubur pulut hitam untuk diagihkan bersama bubur lambuk. Seramai 100 orang sukarelawan dalam kalangan staf dan pelajar bergotong-royong selama dua hari iaitu pada semalam (Selasa) dan hari ini untuk menyediakan bubur lambuk”.

“Agihan kepada komuniti kita aturkan melalui persatuan penduduk dan jawatankuasa surau berdekatan kampus antaranya Desa Jati, Taman Anggerik dan Desa Kolej. Anggota beruniform di Balai Polis dan Balai Bomba Cawangan Nilai juga turut kita agihkan. Insya- Allah tahun depan kami sasarkan untuk meningkatkan lagi kuantiti bubur lambuk agar lebih besar komuniti yang dapat merasainya,” katanya.

Program Gotong Royong dan Edaran Bubur Lambuk Komuniti USIM 2024 kali ini mendapat sambutan dan kerjasama daripada Pusat Hal Ehwal Pelajar, Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti, Koperasi Kakitangan USIM, Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM, Urus Setia Sukan Rekreasi Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar USIM.

Turut bersama menjayakannya adalah KRT Surau Ar Raudah Desa Jati, Yakult, Extrajoss dan Nuaim Corporation.

Sempena agihan bubur lambuk ini kepada warga kampus mulai jam 4 petang di Kompleks Sukan Tunku Najihah, turut dilancarkan Kempen Keselamatan Lalu lintas dan Keselamatan Balik Kampung sempena Hari Raya Aidilfitri oleh Naib Canselor, Profesor Datuk’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani.

Sebagai simbolik kempen anjuran bersama Pusat Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (SCIROSH), Jabatan Keselamatan dan Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ) ini adalah turut diedarkan topi keledar percuma. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast