KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) perlu menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah agar bukan Muslim menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, kenyataan MCCBCHST berhubung pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355] boleh menimbulkan suasana tidak harmoni dalam negara.
Kenyataan kumpulan itu bahawa pindaan Akta 355 sebagai tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah mengelirukan.
“Semua pihak digesa untuk tidak memberikan sebarang kenyataan yang bersifat ‘speculative’ dan ‘pre-emptive‘ berhubung dengan cadangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 ini tatkala ia masih belum dibentangkan di Parlimen.
“Setelah ia dibentangkan, kesemua ahli parlimen akan diberikan ruang yang secukupnya bagi membahaskan berkenaan pindaan ini,” tegasnya dalam kenyataan.
Bagi memahami isu ini, MCCBCHST perlu merujuk kepada Fasal (2) Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama dengan butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan yang mana selaras dengan peruntukan tersebut Mahkamah Syariah telah ditubuhkan melalui akta/enakmen/ordinan di negeri-negeri.
Bagi maksud menangani kesalahan di bawah hukum Syarak, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang beragama Islam dan hanya berkenaan dengan semua perkara yang termasuk dalam butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan sebagaimana yang dinyatakan dalam butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Selaras dengan peruntukan ini, Parlimen telah menggubal Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang memberikan bidang kuasa jenayah kepada Mahkamah Syariah.
Tambah beliau, berdasarkan butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan, antara dua perkara utama yang digariskan.
Pertama kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang bagi mewujudkan kesalahan dan hukuman bagi kesalahan yang dilakukan oleh orang yang beragama Islam terhadap perintah agama Islam, kecuali berkenaan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.
Kedua bidang kuasa mengenai hukuman bagi kesalahan yang diperuntukkan dalam undang-undang Negeri hendaklah dalam had yang diberikan oleh undang-undang persekutuan.
“Ini bermakna, Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang di negeri-negeri bagi mewujudkan kesalahan dan hukuman bagi kesalahan oleh orang yang beragama Islam terhadap perintah agama Islam, kecuali berkenaan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.
“Walaupun kesalahan jenayah syariah diperbuat oleh Badan Perundangan Negeri, perlu difahami bahawa hukuman bagi kesalahan yang diperuntukkan dalam undang-undang Negeri hendaklah dalam had yang diberikan oleh undang-undang persekutuan iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965,” kata beliau.
Mohd. Na’im menegaskan, pihaknya komited untuk memperkasakan kedudukan Mahkamah Syariah dan juga undang-undang Syariah di negara ini berdasarkan kerangka Perlembagaan Persekutuan.- MalaysiaGazette