KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Shah Alam telah menetapkan 19 April depan bagi sebutan semula kes pemandu lori yang didakwa membunuh kekasihnya warga Thailand dengan menolaknya dari tingkat 23 sebuah kondominium pada Februari lepas.
Menurut peguam yang mewakili tertuduh, Sivahnanthan Ragava, anak guamnya, V Nanthan akan didengar oleh Majistret Mohamad Redza Azhar Razali pada 9 pagi Jumaat minggu depan.
Kata Sivahnanthan, sepatutnya kes itu didengar pada 7 Jun depan namun berikutan adanya perkembangan baharu maka tarikh sebutan telah ditukar.
“Ada perkembangan baharu, jadi kita ada tarikh sebutan baharu minggu depan (19 April) ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Mawika Lumyai di sebuah unit kondominium di Setia Alam, Seksyen U13, pukul 10.02 malam pada 28 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum mati sekiranya didapati bersalah.
Semasa prosiding ketika itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farah Sofea Norazman tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh, yang diwakili peguam, T P Aravind Raj.
Sasha Diana kemudiannya tidak membenarkan tertuduh ikat jamin sebelum menetapkan 7 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Pada Rabu, seorang wanita warga Thailand maut dipercayai ditolak kekasihnya dari tingkat 23 sebuah kondominium di sini.
Suspek terlibat yang merupakan lelaki warga tempatan itu diberkas selepas kejadian berkenaan.
Dilaporkan saksi yang melihat insiden itu terdengar pergaduhan sebelum mendakwa melihat mangsa ditolak dari tingkat 23 dan jatuh ke tingkat tujuh kondominium tersebut. -MalaysiaGazette