KUALA LUMPUR – Rombakan perlu dilakukan dalam Majlis Perubatan Malaysia (MPM) bagi memantapkan kredibiliti dan integritinya.
Apatah lagi ia kini berdepan dengan tiga saman selain desakan untuk melakukan perubahan ketika ini, kata Ahli Dewan Negara (DAP), Dr RA Lingeswaran.
Beliau merasakan sudah tiba masa untuk melakukan pembaharuan secara besar-besaran terhadap badan perubatan itu.
Malah kata Lingeswaran yang juga mantan Ketua Pengarah Hospital Sungai Bakap di Pulau Pinang, sehingga hari ini walaupun sudah mencecah lebih setahun, jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di MPM masih lagi kosong.
“Kementerian Kesihatan perlu jelaskan mengapa MPM tidak isi jawatan ini yang sudah kosong hampir setahun? Ketika ini MPM diketuai oleh pemangku yang tidak ada pengalaman untuk uruskan organisasi seperti ini.
“Bukan saya kecilkan peranan Dr Radzi Abu Bakar sebagai pemangku CEO tetapi jawatan beliau sebagai Ketua Pengarah Kesihatan perlukan semua masa beliau di kementerian.
“Kita sedang bercakap tentang sebuah badan kawal atur penting seperti MPM, ini juga bukan kebimbangan saya seorang sebaliknya sudah ada banyak desakan sebelum ini,” katanya.
Justeru itu, Dr Lingeswaran mencadangkan supaya adanya pindaan Akta Perubatan 1971 supaya pemisahan kuasa antara dua jawatan tersebut.
Jelasnya, secara ideal jawatan Presiden dan CEO MPM haruslah dua-dua doktor yang berpengalaman dengan pengalaman klinikal dan pengurusan hospital bagi memastikan pengurusan perkhidmatan kesihatan yang berkesan.
Untuk makluman, seramai enam pakar patologi Universiti Sains Malaysia (USM) telah bertindak menfailkan saman terhadap MPM kerana tidak mengiktiraf kursus mereka untuk membolehkan mereka disenaraikan dalam Daftar Pakar Kebangsaan.
Seorang pakar neurologi Malaysia di Hong Kong dan sebuah kolej perubatan tempatan juga terlibat dalam pertikaian undang-undang dengan pihak kawal atur itu.
Pelajar USM dan pakar neurologi itu berjaya mendapatkan kebenaran mahkamah untuk mendengar kes mereka masing-masing pada 20 Jun dan 16 April manakala kes Universiti Lincoln masih tertangguh di Mahkamah Persekutuan.
Selain daripada itu, difahamkan, terdapat desakan pembaharuan dalam MPM dari Persatuan Perubatan Malaysia, kumpulan Hartal Doktor Kontrak yang memperjuangkan kesejahteraan doktor muda dan Akademi Perubatan Malaysia.
Dalam pada itu, kata Dr Lingeswaran, ada lagi sekumpulan doktor pakar bedah toraks kardiovaskular yang memperoleh kelayakan pakar mereka akan membawa kes terhadap MPM.
“Ini kerana MPM enggan mengiktiraf doktor bedah yang memperoleh kelayakan dari Royal College of Surgeons of Edinburgh di bawah program laluan selari kementerian sehingga mencalarkan nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Presiden kolej Edinburgh telah menulis surat kepada Menteri Kesihatan selain adanya permohonan oleh diplomat kanan dari kedutaan besar Britain dan Ireland juga untuk bertemy Datuk Seri Dr Dzulkefly untuk menyampaikan kebimbangan mereka mengenai program pakar dari kolej perubatan itu yang tidak diiktiraf.
“Bukankah semua ini serius dan perlu segera ditangani? Kerana itu juga saya suarakan kebimbangan dan desakan rombakan memandangkan begitu terang dan jelas kelemahan dalam pentadbiran dan pimpinan MPM terutamanya ketika permintaan dalam bidang kesihatan meningkat dan peningkatan populasi yang menua,” tegasnya. – MalaysiaGazette