AIDILFITRI merupakan perayaan besar bagi umat islam. Hari kebesaran itu disambut dengan penuh keriangan dan kegembiraan setelah berjaya menjalani ibadat puasa selama sebulan di bulan Ramadan yang telah diwajibkan ke atas muslim yang memenuhi syarat.
Tika dahulu sebelum kewujudan media sosial, adalah menjadi kelaziman masyarakat
melayu islam di negara ini mengadakan aktiviti berkunjungan antara rumah ke rumah
kejiranan sekitar sehingga ada yang merentasi beberapa buah kampung.
Suasana lebih meriah dengan gelagat masyarakat yang rata-rata mengenakan pakaian
baharu bewarna warni sambil berjalan beriringan bersama-sama ahli keluarga dan rakan-
rakan. Ia menunjukkan keakraban ikatan persaudaraan sesama tetangga dalam meraikan
kegembiraan Syawal bersama-sama tanpa perbezaan serta batasan.
Namun kehadiran teknologi telah mula menghakis nilai dan adat perayaan yang telah
diamalkan sejak sekian lama. Kebanyakan masyarakat hari ini cenderung berinteraksi
melalui platform maya berbanding kaedah bersemuka. Kesannnya, ia bukan sahaja
menghapuskan nilai kemesraan dalam masyarakat, malah hanya memfokuskan kepada
kenalan yang sedia ada sahaja tanpa mengembangkan jalinan silaturahim dengan sanak
saudara, keluarga besar secara lebih mesra dan harmoni.
Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk umat islam meraikan lebaran, marilah sama-sama kita menyegarkan kembali tradisi kunjung-mengunjung, ziarah-menziarahi antara ahli keluarga dan jiran tetangga agar budaya yang penuh nilai murni itu tidak terus terkubur dek perubahan zaman.
Musim perayaan Aidilfitri antara masa paling sesuai untuk bertegur sapa dengan saudara
jauh mahupun dekat. Adakalanya, anak saudara tidak mengenali bapa saudara dan begitu
juga sebaliknya. Jadikan Aidilfitri ini hari yang mengubah persepsi, mengeratkan hubungan antara satu dengan yang lain.
Perlu diingat bahawa musim perayaan sinonim dengan perbelanjaan tidak berhemah.
Syawal bukan bulan untuk menunjuk-nunjuk, bermegah-megah atau bersaing untuk merebut pemegang takhta kekayaan, ia bulan untuk semua umat islam menzahirkan kegembiraan secara bersama-sama serta memberi ucapan yang baik antara satu sama lain dengan mengharapkan segala amal ibadat yang dilakukan diterima oleh sang Pencipta.
Tidak dinafikan terdapat segelintir masyarakat yang sanggup berbelanja di luar kemampuan dan mengikut hawa nafsu sema-mata untuk mendapat pujian dan kelihatan ‘hebat’ di pandangan orang sekeliling. Lebih teruk ada yang sanggup berhutang semata-mata untuk mendapat pujian daripada orang ramai.
Jadikanlah perayaan sebagai permulaan lembaran baharu dalam keluarga dan Elakkan diri
dari hanya terperap di rumah ataupun memenuhi masa dengan media sosial semata-mata.
Gunakan kemeriahan Aidilfitri sebagai platform untuk membina jalinan rangkaian bersama-sama sahabat lama dan baharu selain mengukuhkan ikatan kekeluargaan, bersosial secara sihat dan mengukuhkan identiti budaya dalam masyarakat.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin!
Amirul Salam Hasan
Pejabat komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu