Orang ramai membeli barang keperluan mentah bagi persiapan awal sempena Hari Raya Aidilfitri di Kampung Sungai Udang, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 09 APRIL 2024.

KLANG – Belum pun selesai kos sara hidup dan bebanan ibu bapa semasa menyambut bulan puasa serentak dengan pembukaan sesi persekolahan, kini tiba lebaran yang bakal disambut tidak lagi.

Kenaikan harga barang dan ketidaktentuan bekalan bahan makanan sedikit banyak memberi kesan kepada orang ramai, apatah lagi dalam membuat persiapan bagi menyambut Harian Raya Aidilfitri yang bakal tiba sehari dua lagi.

Tinjauan MalaysiaGazette ke Kampung Sungai Udang, di sini mendapati, orang ramai berpusu-pusu ke pasar tani untuk mendapatkan bahan masakan utama bagi juadah rendang, ketupat dan lontong untuk dijamu di pagi raya.

Penduduk, Yusneti Yanes, 58 bercakap kepada media mengenai persiapan menjelang Aidilfitri ketika di Kampung Sungai Udang, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 09 APRIL 2024.

Bagi seorang pengunjung, Yusneti Yanes, 58, walaupun harga barang ketika ini agak mahal, namun dia tetap membeli barang keperluan demi meneruskan tradisi menyambut Aidilfitri.

“Raya tahun ini saya masak rendang ayam, ayam masak merah, daging masak kari, ketupat palas, ketupat pulut, nasi himpit, kuah kacang dan masak lodeh.

“Raya punya pasal, mahal pun mahallah. Harga barang boleh tahan lah, mahal sikit berbanding tahun lepas.

“Ketupat buat saya anyam sendiri, setiap tahun mesti buat ketupat, tak boleh tinggal, itu dari turun temurun daripada mak dan nenek,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Yusneti yang berasal dari Perak itu berkata, walau bagaimanapun dia tetap berjimat cermat apabila berbelanja.

“Baju raya beli dekat Subang Jaya, dapatlah 100 lebih, beli mahal-mahal pun bukan orang tahu kita pakai murah ke mahal, orang tak tanya pun.

“Kita jimat cermat laa sikit, lepas raya anak nak kerja lagi, kena laa berjimat sikit,” katanya.

Pesara, Zolkafli Ahad, 72 bercakap kepada media mengenai persiapan menjelang Aidilfitri ketika di Kampung Sungai Udang, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 09 APRIL 2024.

Bagi Zolkafli Ahad, 72, berkata, walaupun harga daging tempatan agak mahal menjelang Aidilfitri, namun ramai pengunjung berebut-rebut membelinya mengikut keperluan keluarga.

“Daging tu harga dia boleh tahan juga, ada RM38 sekilo, bagus juga ada tanda harga, kita boleh pilih mana satu yang kita nak.

“Daging batang pinang harga dia RM50 sekilogram, mahal laa juga, tapi ramai juga beli,” katanya.

Selain itu, Zulkafli memilih untuk berjimat-cermat dan tidak membeli baju raya baharu pada sambutan Aidilfitri tahun ini.

“Saya baju ini dulu punya sudah banyak, kalau beli lagi membazir pula.

“Saya pakai baju raya yang dulu-dulu, banyak, pakai balik baju lama,” katanya.

Pesara, Sharipudin Jaimin, 73 bercakap kepada media mengenai persiapan menjelang Aidilfitri ketika di Kampung Sungai Udang, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 09 APRIL 2024.

Sementara itu, Sharipudin Jaimin, 73, pula berkata, walaupun harga barang agak mahal dan kos sara hidup meningkat, namun ia bukan penghalang untuk meneruskan tradisi Aidilfitri.

“Barang-barang ada cerita bagi tahu mahal, walaupun macam mana pun kita meriah, semangat untuk kekalkan tradisi kepada generasi akan datang.

“Walaupun ekonomi kurang, kita jangan kurang usaha menambah pendapatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette