KAJANG – Pakaian dan kelengkapan diri terpakai atau bundle bukan asing buat masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu yang gemar mencari barangan preloved kerana harganya murah.
Ada kalanya masih kelihatan baharu jika sabar memilih.
Ia kerana bukan semuanya pakaian bundle itu terpakai sebaliknya ia merangkumi baju baharu yang kebanyakan barang reject, stok lama untuk dilupuskan dan produk yang dicetak khas untuk majlis atau konsert tertentu.
Walaupun industri pakaian bundle sudah bertapak di Malaysia sejak zaman 1990-an namun ia juga melalui proses revolusi daripada tapak pasar malam dan kini mula mendapat tempat apabila ia dijual di pasar raya dan butik.
Salah satu butik bundle itu ialah Sasuke Outlet yang kini semakin disebut-sebut orang ramai dan saban tahun menjadi destinasi utama untuk pembelian saat akhir pada musim perayaan terutamanya Hari Raya Aidilfitri.
Menurut jurucakapnya, Nurul Jannah Ismail, konsep butik yang berhawa dingin dan mempunyai pelbagai segmen pakaian untuk seisi keluarga menjadi tarikan orang ramai untuk beli-belah pada harga mampu milik dan berkualiti.
“Di Sasuke Outlet, kita datangkan konsep baharu tidak seperti dahulu kedai yang panas.
“Sekarang kita bawa pakaian bundle ke pasar raya dan kedai berhawa dingin namun harga tetap sama dengan lain-lain kedai bundle, harga murah, berkualiti, cantik dan lebih baik,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Nurul Jannah tidak menafikan wujud persaingan sengit namun Sasuke Outlet mempunyai kelebihan tersendiri dan orang ramai tetap kembali ke rangkaian kedai bundle itu kerana tawaran diskaun sepanjang masa.
“Kita banyak saingan, ada bundle yang baru naik, konsep lebih kurang sama tapi kita kekalkan harga dan kualit, Alhamdulillah makin lama makin ramai pelanggan datang mencari kita.
“Walaupun pergi kedai bundle lain, mereka tetap datang ke sini juga kerana faktor kualiti dan harga. Ramai pelanggan baru respon di sini lebih selesa dan sejuk tak berhabuk seperti kedai bundle lain,” katanya.
Katanya, dengan konsep ready to wear, orang ramai lebih rasa selesa dengan pakaian bundle Sasuke Outlet kerana tidak berbau hapak dan busuk, malah sedia untuk dipakai sebaik sahaja membuat bayaran.
“Orang beli nak terus pakai untuk pun boleh. Kebanyakan pelanggan kita 80 peratus adalah muslim, kita memang jaga produk kita agar sentiasa bersih dan tiada pakaian kita yang berunsur haiwan haram,” katanya lagi.
Memandangkan keadaan ekonomi sekarang tidak menentu, namun jumlah pelanggan ke Sasuke Outlet tidak berkurang apatah ramai ibu bapa sekarang berjimat cermat membuat persiapan hari raya.
“Betul, tahun ini sangat memberangsangkan orang datang sebab peningkatan itu agak tinggi dari tahun-tahun sebelum ini.
“Orang sekarang nak berjimat, sebab itu orang datang cari kita Sasuke Outlet. Siapa pernah datang, dia akan datang balik sebab kualiti kita tinggi dengan harga yang rendah,” katanya.
Menariknya, kata Nurul Jannah, Sasuke Outlet menawarkan harga pakaian bundle bukan sahaja mampu milik bahkan sangat berbaloi serendah RM8 dan tawaran khususnya untuk Ramadan.
“Kita konsep keluarga, kita ada pakaian kanak-kanak, pakaian lelaki, wanita dan untuk mereka yang nak keluar negara pun musim sejuk pun kita ada.
“Kebanyakan yang datang ke sini dengan keluarga, beli-belah baju anak-anak, baju suami, baju isteri, senang nak cari pakaian untuk satu keluarga.
“Harga sangat berpatutan, untuk bulan puasa kita tawarkan serendah RM8 untuk sepersalinan dan paling mahal produk berjenama bawah RM100 dan ada barang rare juga dijual di sini.
“Kita kat sini setiap hari ada diskaun, pelanggan kena panggil selam, dan diskaun paling tinggi sehingga 50 peratus,” katanya.
Katanya lagi, Sasuke Outlet yang kini mempunyai rangkaian di Danau Kota, Setapak, Bangi dan Kajang melanjutkan operasi hingga lewat malam bagi memberi peluang orang membeli-belah pada saat akhir.
“Kita lanjutkan operasi kita sehingga 12 tengah malam untuk bulan puasa di semua outlet kami, lazimnya kita tutup 10 malam.
“Untuk yang bergegas shopping masih ada masa lagi datang ke Sasuke sehingga 12 malam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette