KUALA LUMPUR – Sultan Selangor menyeru kepada seluruh umat Islam dan juga semua bangsa tidak mengira keturunan dan agama di negara ini, supaya terus mengukuhkan perpaduan dan menyemarakkan semangat muhibah antara satu sama lain.

Sultan Sharafuddin Idris Shah turut mengingatkan rakyat agar sentiasa mengamalkan sifat-sifat mulia dalam setiap tingkahlaku dan menulis perkara yang baik-baik sahaja, elakkan fitnah dan buruk sangka, kerana apa sahaja yang dilakukan adalah menjurus kepada ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata’la.

“Beta berharap seluruh umat Islam terus mengekalkan hubungan silaturrahim dan bermaaf-maafan, lebih-lebih lagi dengan suasana Syawal yang penuh dengan tradisi rumah terbuka dan kunjung mengunjung. Sesungguhnya amalan ini mampu mempererat jalinan perpaduan,” titah baginda.

Dalam titah perutusan kepada seluruh umat Islam, Sultan Sharafuddin bersama Tengku Permaisuri Norashikin Selamat Hari Raya Aidilfiltri kepada seluruh umat Islam di Negeri Selangor.

“Beta berdoa agar sambutan Hari Raya kali ini diraikan dalam suasana yang meriah dan penuh harmoni. Kepada yang menempuh perjalanan pulang ke kampung halaman, baginda meminta orang ramai hati-hati memandu dan sentiasa berwaspada ketika di jalan raya.

“Semoga Syawal yang menyusuli pemergian Ramadan ini dapat kita sambut dengan kegembiraan sejati. Selamat Hari Raya Aidilfitri,” titah baginda. – MalaysiaGazette