Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sejak lebih setahun pentadbiran, pelbagai isu dan kontroversi berkaitan permasalahan kaum India di negara ini masih belum nampak sinar harapan.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah mengakui antara isu besar dihadapi oleh kaum itu adalah kemiskinan tegar dan kerajaan akan cuba menoktahkan perkara itu dalam tempoh setahun pentadbiran.

Namun pada masa sama, isu-isu termasuklah bagaimana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) diperlakukan seperti ‘bola’ dan sehingga kini belum nampak apa-apa program penting dilaksanakan terus membuatkan komuniti itu sudah tawar hati.

Tidak cukup dengan itu, isu berkaitan sentimen agama, peruntukan dan janji-janji manifesto juga masih lagi ‘perlahan’.

Lagi-lagi kekurangan perwakilan India dalam Jemaah Menteri walaupun hakikatnya ramai pemimpin berkaliber.

Seorang pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) yang enggan namanya disebut bimbang dengan trend itu memandangkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baru pada 11 Mei ini dan komuniti India mempunyai sekurang-kurangnya lebih 18 peratus.

Kata pemimpin itu, walaupun ianya kubu kuat DAP dengan peratusan pengundi lebih 30 peratus kaum Cina dan 50 peratus Melayu namun pastinya peratusan India akan memainkan peranan ‘king maker’ seperti sebelum ini.

“Saya sendiri terdengar ada yang hendak protes, ramai yang tidak berpuas hati. Sebenarnya ini bukan sesuatu yang kita boleh ambil mudah langsung. Bagaimana hendak yakinkan komuniti India? Sesuatu perlu dilakukan.

“Banyak juga insiden yang melukakan hati kaum India berlaku sepanjang pentadbiran kerajaan Persekutuan. Lagi-lagi ada pimpinan India lebih suka berbalah dan menuding jari sesama lain daripada bekerjasama bersama-sama. Semua ini perlu diperbetulkan,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Sambung beliau, usah terkejut andai berlaku undi protes dengan sama ada pengundi tidak mahu keluar pengundi atau memberi undi mereka kepada calon Perikatan Nasional (PN).

“PN juga bijak mengguna peluang seperti ini dengan menyebar sentimen yang tidak sepatutnya kerana mereka kini pembangkang. Isu ini jangan di pandang remeh,” ujarnya.

Difahamkan, setakat ini, DAP masih belum memuktamadkan calon bertanding bagi kerusi PRN KKB susulan kekosongan kerusi Parlimen Hulu Selangor itu selepas kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), mendiang Lee Kee Hong yang meninggal kerana sakit kanser.

Beliau telah menjadi Adun selama tiga penggal sejak 2013, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas, beliau telah berjaya pertahan kerusi dengan majoriti 4,119. -MalaysiaGazette