KUALA LUMPUR – Kesyahidan tiga anak dan cucu pemimpin kanan Hamas Ismail Haniyeh akan menyemarakkan kebangkitan Islam bukan sahaja di Palestin tetapi juga di seluruh dunia.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengucapkan takziah atas kematian tersebut berkata, serangan berterusan Israel ke atas Palestin pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri adalah siri berterusan tindakan genosid ke atas rakyat Palestin.
“Sesungguhnya kesyahidan mereka ini akan pasti menyemarakkan kebangkitan umat Islam bukan hanya di Palestin malahan turut menyemarakkan kebangkitan di seluruh dunia.
“Pas mendesak untuk disegerakan gencatan senjata dan membuka pintu sempadan Rafah bagi mempercepatkan bantuan kemanusiaan berupa ubat-ubatan dan keperluan asas harian penduduk di Gaza.
“Saya menyeru kepada semua, jangan kita lupakan saudara kita di Palestin dengan terus berdoa untuk kemenangan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Media melaporkan tiga anak Ismail iaitu Hazen, Amir dan Muhammad maut selepas kenderaan yang mereka naiki diserang dari udara di kem pelarian Al-Shati.
Turut maut adalah cucu Ismail iaitu Amal anak kepada Hazem serta Khaled dan Razan anak kepada Amir.
Ismail dilaporkan tidak berduka dengan kematian tiga anak dan cucunya sebaliknya menzahirkan rasa syukur kepada Allah atas penghormatan yang diberikan olehNya kepada mereka melalui kesyahidan.
Menurut beliau dengan dengan kesakitan dan darah yang tumpah penduduk Palestin mencipta harapan, masa depan dan kebebasan al-Quds.
“Anak-anak lelaki saya yang mati syahid mencapai kehormatan masa, kehormatan tempat, dan kehormatan pengakhiran. Anak-anak saya tinggal bersama rakyat kami di Semenanjung Gaza dan tidak meninggalkannya.
“Semua rakyat kita dan semua keluarga penduduk Gaza telah membayar harga yang mahal dengan darah anak-anak mereka, dan saya adalah salah seorang daripada mereka.
“Musuh berkhayal jika mereka berfikir bahawa dengan membunuh anak-anak saya, kami akan menukar kedudukan kami,” kata Ismail. – MalaysiaGazette