repatriation mission malaysians New Delhi Mumbai India Covid-19
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan oleh rejim Israel yang menyasarkan rakyat Palestin, termasuk serangan udara di kem pelarian Shati di utara Gaza, terutamanya semasa rakyat Palestin dan umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidilfitri.

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Khamis, Malaysia akan terus menentang dengan teguh tindakan keganasan dan genosida yang jelas dijalankan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.

“Tindakan kejam oleh rejim Israel ini jelas menunjukkan kebencian dan ini bertentangan dengan simbol sambutan perayaan ini iaitu prinsip kemanusiaan, keamanan dan belas kasihan.

“Serangan ini juga akan menjejaskan rundingan gencatan senjata dan usaha-usaha mencari penyelesaian yang damai terhadap konflik ini dan mempersoalkan niat Israel, jika ada, untuk mencari penyelesaian yang damai terhadap konflik ini,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata, masyarakat antarabangsa harus mengambil tindakan tegas untuk menghentikan kekejaman dan bencana manusia di Gaza, serta memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan tegas atas jenayah perang dan jenayah kemanusiaan tersebut.

“Komuniti antarabangsa tidak boleh lagi berdiam diri dan membiarkan kekejaman ini berterusan, kerana lebih banyak nyawa yang tidak berdosa akan terkorban disebabkan oleh rejim yang tidak mempunyai rasa keadilan, kemanusiaan atau moral,” katanya.

Wisma Putra berkata Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), Mahkamah Antarabangsa Keadilan (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) harus memenuhi tanggungjawab mereka.

Ia berkata UNSC perlu mempertimbangkan penubuhan tribunal jenayah antarabangsa untuk mendakwa dan membawa ke muka pengadilan mana-mana pihak yang bertanggungjawab melakukan jenayah sedemikian.

Malaysia berpegang teguh prinsip bahawa rakyat Palestin layak mencapai penubuhan negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan-sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kotanya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast