KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengutuk tindakan Israel membunuh ahli keluarga pemimpin umat Islam Palestin, Ismail Haniyeh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr. Mohd. Na’im Mokhtar amat dukacita dengan tindakan zionis yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan melakukan serangan ketika umat Islam menyambut Aidilfitri.
“Zionis Israel terus tidak mempedulikan suara dunia yang mengutuk perbuatan zalim mereka.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merakamkan ucapan takziah kepada Ismail Haniyeh.
“Semoga beliau terus tabah dengan ujian besar ini. Tentunya ia sama sekali tidak melemahkan semangat beliau untuk terus berjuang demi negara Palestin,” katanya.
Sementara itu Mohd. Na’im meminta semua pihak terus berdoa semoga rakyat Palestin diberikan kekuatan dan kesabaran yang tinggi untuk berhadapan dengan Israel.
Katanya, doa yang dipohon amat bermakna kepada rakyat Palestin dan tanda kesatuan hati seluruh umat Islam.
Tujuh anggota keluarga Ismail dilaporkan terkorban melibatkan tiga orang anak lelaki dan empat cucunya selepas diserang dari udara oleh tentera Israel semalam.
Serangan tersebut menyasarkan sebuah kereta yang dinaiki ahli keluarga Ismail di kem pelarian Al-Shati berhampiran Bandar Gaza ketika mereka dalam perjalanan ke perayaan pada hari pertama Aidilfitri.
Saksi mata berkata, serangan udara itu berkesan memusnahkan kereta itu, membunuh atau mencederakan semua orang di dalamnya.
Media sebelum ini melaporkan tiga anak dan tiga cucu Ismail yang terbunuh adalah Hazem Haniyeh dan anak perempuannya Amal, Amir Haniyeh dan anak lelaki Khaled serta anak perempuannya Razan serta Muhammad Haniyeh.-MalaysiaGazette