Mohd Nasri Omar

KUALA LUMPUR – Sebanyak 35 kes kematian direkodkan pada sambutan 1 Syawal atau hari ketiga penguatkuasaan Op Selamat Ke-22 Polis Diraja Malaysia sempena sambutan Aidilfitri 2024 di seluruh negara.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Deputi Komisioner Datuk Mohd Nasri Omar berkata, sebanyak 1,289 kes kemalangan telah direkodkan semalam.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 25 kes adalah merupakan kemalangan maut dengan 35 kes kematian.

“Angka maut tertinggi adalah membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal iaitu sebanyak 18 kes kematian.

“Manakala kematian membabitkan pemandu kereta (10 kes), disusuli pejalan kaki (enam orang) dan seorang pengayuh basikal maut dalam nahas jalan raya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, Lebuhraya Persekutuan merekodkan kematian tertinggi sebanyak 10 kes diikuti lapan kes di jalan negeri dan masing-masing dua kes kemalangan di jalan pintas dan jalan bandaran manakala lima kes lagi berlaku di jalan lain.

Mohd Nasri berkata, sikap terburu-buru hendak cepat sampai ke destinasi antara punca menyumbang kepada kemalangan jalan raya pada musim perayaan Aidilfitri kali ini.

Selain itu, sikap pemandu yang suka mengekori rapat atau jarak yang terlalu dekat dengan kenderaan lain dan leka, mengantuk atau letih akibat memandu dalam tempoh yang lama turut menjadi faktor menyumbang kepada kemalangan.

“Justeru, sikap pemandu itu yang cuai ketika keluar atau masuk persimpangan jalan selain mengubah haluan dan memotong di lokasi tidak sesuai turut mengakibatkan berlaku nahas jalan raya kali ini,” jelas beliau lagi.

Beliau mengambil kesempatan ini menasihatkan kepada pengguna jalan raya agar lebih tenang, bersabar serta berhemah ketika membawa kenderaan dengan mengambil berat tentang keselamatan pengguna lain atas jalan raya.

Pada Isnin lalu,Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata PDRM akan melaksanakan Op Selamat Ke-22 bersempena Aidilfitiri 2024 di seluruh negara bermula 8 April hingga 13 April 2024 bertemakan “Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi”.-MalaysiaGazette