Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghubungi Ismail Haniyeh

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghubungi pemimpin kanan Hamas Ismail Haniyeh bagi menyampaikan ucapan takziah atas kematian tujuh anggota keluarganya termasuk empat cucu akibat serangan udara tentera Israel.

Anwar berkata, rakyat Malaysia teguh dalam pendirian untuk bersama-sama dengan seluruh rakyat Palestin yang kini berhadapan pembunuhan beramai-ramai oleh regim zionis.

Menurutnya, kehilangan nyawa insan yang tidak berdosa terutamanya kanak-kanak dalam suasana cukup tragik adalah amat sukar diterima oleh mana-mana manusia.

“Saya telah menghubungi sahabat saya dan juga pemimpin utama gerakan Hamas Ismail Haniyeh petang tadi bagi menyampaikan takziah atas berita yang begitu mendukacitakan tatkala tiga orang anaknya yakni Hazem, Amir and Mohammad termasuk empat orang cucu yang terkorban dalam serangan udara oleh rejim ganas Zionis semalam.

“Saya mewakili seluruh rakyat Malaysia menyatakan solidariti yang tidak berbelah bahagi dan semangat kebersamaan yang tinggi bersama keluarga Ismail serta seluruh rakyat Palestin yang telah kehilangan keluarga tersayang,” kata Anwar dalam kenyataan.

Dalam perbualan kira-kira 7 minit itu, Anwar berkata, beliau dan rakyat Malaysia merasai kesedihan dan kepedihan yang dilalui Ismail.

Malaysia katanya, telah menzahirkan kecaman dan kutukan sekeras-kerasnya ke atas rejim Israel yang melakukan tindakan biadab dan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin secara berterusan melakukan genosid.

Menurut Anwar, serangan jijik rejim Zionis membuktikan mereka tidak punyai keinginan melakukan gencatan senjata seperti yang telah dituntut Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Tindakan rejim Israel itu juga menunjukkan mereka tidak tunduk dan patuh kepada prinsip hukum dan undang-undang antarabangsa.

“Serangan kurang ajar oleh rejim pengecut Zionis Israel ini hanya melenyapkan sebarang harapan ke arah penyelesaian secara aman dengan prinsip kemanusiaan dan hak asasi manusia terus diinjak tanpa noktah.

“Malaysia sekali lagi mendesak keras komuniti antarabangsa untuk bertindak tegas dan mempertanggungjawabkan rejim Zionis Israel atas kezaliman ini dan mesti bekerja untuk menjelmakan keamanan buat rakyat Palestin yang telah secara konsisten dinafikan sejak 75 tahun lampau,” katanya.

Sementara itu Ismail mengucapkan terima kasih terhadap ucapan takziah dan simpati yang dilahirkan oleh Anwar dan rakyat Malaysia.

Tujuh anggota keluarga Ismail dilaporkan terkorban melibatkan tiga orang anak lelaki dan empat cucunya selepas diserang dari udara oleh tentera Israel semalam.

Serangan tersebut menyasarkan sebuah kereta yang dinaiki ahli keluarga Ismail di kem pelarian Al-Shati berhampiran Bandar Gaza ketika mereka dalam perjalanan ke perayaan pada hari pertama Aidilfitri.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast