Nadia mengusahakan perniagaan MSG Car Rental di Bukit Mertajam sejak tiga tahun lalu.

BUKIT MERTAJAM – Sebut soal sewa kereta untuk pulang beraya ke kampung semestinya dilabelkan hanya untuk bergaya.

Namun tidak ramai yang tahu sebenarnya ada antara pengguna yang berbuat demikian untuk elak kesesakan, mencari keselesaan dalam menempuh perjalanan jauh serta terpaksa disebabkan kereta rosak.

Pemilik MSG Car Rental di Bukit Mertajam, Nadia Shukri, 30, berkata, kebanyakan pelanggan yang menyewa kereta di premisnya terdiri daripada warga ibu kota yang pulang beraya ke utara tanah air.

Jelasnya, rata-rata pelanggan mempunyai kenderaan sendiri namun memilih pulang beraya menaiki perkhidmatan tren elektrik (ETS) serta penerbangan udara bagi mengelak kesesakan.

“Sudah empat tahun saya mengusahakan perniagaan sewa kereta ini dan setiap kali hari raya Aidilfitri mesti semua kereta ‘licin’ disewa.

Anak kelahiran Kelantan ini mempunyai 20 buah kenderaan untuk disewakan dalam satu masa.

“Bagaimanapun, bagi saya, pelanggan yang menyewa kereta dengan kami bukan untuk berlagak kaya namun lebih kepada faktor keselamatan tak perlu pandu jauh dan lama selain mereka mementingkan keselesaan.

“Malah mereka juga mendakwa jimat masa perjalanan dari ibu kota dan kereta diperlukan untuk perjalanan dekat termasuk beraya ke rumah sanak-saudara,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Tambah ibu kepada seorang cahaya mata itu, dia mempunyai kira-kira 20 buah kenderaan pelbagai jenis terdiri daripada kereta mampu milik serta kereta mewah seperti Toyota Vellfire dan Alphard.

“Selalunya orang yang sewa awal akan memilih kereta yang selesa dengan mereka dan pelanggan yang jenis tempah saat akhir pula, tak kisah kereta apa janji ada untuk kegunaan mereka dalam tempoh perayaan itu.

“Jadi tak timbul isu orang sewa kereta untuk pulang beraya hanya untuk bergaya atau berlagak kaya. Masing-masing mempunyai alasan tersendiri,” katanya.

Sementara itu, bagi Muhammad Zulfadley Mohd Khalid, 34, yang mengusahakan perniagaan sama di Teluk Intan, Perak berkata, permintaan sewa kereta selalunya melonjak luar jangkaan ketika musim perayaan Aidilfitri khususnya.

Bagaimanapun anak kelahiran Kajang, Selangor itu mendakwa 30 buah kenderaan pelbagai jenis miliknya termasuk Vellfire sudah ditempah dua bulan sebelum Ramadan.

“Hendak kata pelanggan yang sewa kereta dengan saya untuk riak tidak ada kerana berdasarkan pemeriksaan kami dapati mereka mempunyai kenderaan namun mungkin tidak sesuai untuk perjalanan jauh atau tambahan ahli keluarga untuk pulang ke kampung menyebabkan terpaksa menyewa kereta lain.

“Selain itu, bagi saya mereka yang menyewa kereta mewah untuk tempoh tertentu ini bijak kerana hanya perlu membayar kadar sewa serta petrol saja berbanding memiliknya yang memerlukan kos tinggi,” katanya.

Muhammad Zulfadley mempunyai pelbagai variasi kenderaan untuk disewa pelanggan mengikut kemampuan mereka.

Mengulas lanjut, Muhammad Zulfadley berkata, perniagaan sewa kereta masih menjanjikan pulang lumayan namun sebagai pemilik mereka tetap berdepan pelbagai risiko termasuk kereta disita akibat tindakan penyewa.

“Saya tak nafikan bisnes ini memang tak perlukan banyak penglibatan dan kalau mampu beli Perodua Axia pun sudah cukup laris untuk disewakan tapi dalam masa sama kita kena bersedia menanggung risiko jika gagal mengenal pasti penyewa bermasalah.

“Contohnya, dua buah kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza dan Proton Exora saya disewa seorang lelaki berada dalam sitaan sudah dua tahun kerana digunakan untuk menyeludup pendatang asing tanpa izin (Pati) di sempadan Kedah.

“Impaknya, saya hilang hasil pendapatan dari dua kenderaan tersebut selain perlu membayar pinjaman di bank bagi mengelakkan diri disenaraihitam,” katanya.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast