KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif mahu perhebatkan hubungan dengan Malaysia terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut dinyatakan menerusi panggilan telefon daripada Shehbaz malam tadi.
“Kami berbalas ucapan Eid Mubarak di samping menzahirkan harapan agar hubungan kedua-dua negara akan terus diperkukuh.
“PM Shehbaz turut mengulangi undangannya kepada saya untuk mengadakan lawatan rasmi ke Pakistan secepat mungkin.
“Menerusi perbualan telefon tersebut, kami senada mahu meneroka ruang untuk memperhebatkan hubungan Malaysia-Pakistan terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan,” katanya dalam kenyataan.
Anwar turut menyambut baik cadangan Shehbaz yang mahu mengeksport daging halal dari Pakistan ke Malaysia.
Mereka turut membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa termasuk situasi di Gaza dan Afghanistan
“PM Shehbaz juga memuji pendirian Malaysia terkait permasalahan di Palestin. Mendoakan semoga hubungan Malaysia dan Pakistan akan terus berkembang demi manfaat bersama, insya-Allah,” kata Anwar.
Shehbaz dipilih oleh Parlimen Pakistan sebagai Perdana Menteri buat kali kedua pada 3 Mac lalu iaitu tiga minggu selepas pilihan raya yang menghasilkan keputusan samar hingga menyebabkan kelewatan dalam pembentukan kerajaan gabungan.
Beliau menewaskan Omar Ayub, calon disokong bekas Perdana Menteri yang dipenjara, Imran Khan, yang mendapat 92 undi. – MalaysiaGazette