SETELAH mengharungi sebulan berpuasa, syukur kepada Allah SWT kerana kita diberikan kesempatan sepanjang bulan Ramadan ini untuk melaksanakan kewajipan berpuasa dan pada masa yang sama meningkatkan amal ibadah yang lain. Bukan Ramadan adalah bulan untuk melipatgandakan amalan dan berusaha untuk mencapai nilai ketaqwaan yang dijanjikan Allah. Pada masa yang sama berusaha untuk mendapat keampunan Allah daripada segala dosa yang telah dilakukan sebelum itu.
Perkataan ‘Aid’ membawa maksud perayaan atau sambutan yang berasal daripada maksud kembali. Manakala ‘fitri’ pula membawa maksud fitrah atau asal semula jadi. Justeru, maksud kepada ‘Aidilfitri’ ialah kembali kepada fitrah, dalam erti kata bahawa kita kembali daripada kem pentarbiahan bulan Ramadan sebelum itu dan tibanya pada awal Syawal sebagai tanda pembebasan dan kemenangan mengharunginya selama tempoh sebelum. Hari raya ‘Aidilfitri’ ini disambut oleh semua lapisan masyarakat dengan penuh riang dan ria tanpa mengira latar belakang, kerana soal pembebasan dan kemenangan seseorang itu adalah bergantung kepada pencapaian nilai ketaqwaannya pada penghujung Ramadan itu sendiri.
Dalam ayat 183 surah al-Baqarah, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” Bahkan dalam hadith pula ada menyatakan bahawa ada dalam kalangan umat Islam yang berpuasa, tetapi tidak mencapai nilaian ketaqwaan tersebut melainkan hanya lapar dan dahaga serta keletihan berjaga malam sahaja. Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda: “Berapa ramai orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan dahaga (dan lapar sahaja) dan berapa ramai orang pula yang berqiyam (menghidupkan malamnya) itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam sahaja(HR al-Darimi, no. 2750, sanadnya hasan).
Masyarakat di negara kita, tidak kira taraf kehidupan, pasti berusaha untuk menjadikan hari raya sebagai hari yang berbeza dengan hari-hari yang lain dengan menyediakan pelbagai juadah mengikut kemampuan masing-masing. Bahkan, masing-masing menyambut hari Raya dengan memakai pakaian yang baharu atau paling baik pada hari itu. Sepanjang hari raya itu, menjadi tradisi dan adat orang Melayu apabila disulami dengan proses memohon kemaafan sesama sendiri. Gambaran hari raya disebutkan dalam riwayat daripada Hafsah RA daripada Ummu ‘Atiyyah berkata: “Pada ‘Aidilfitri kami diperintahkan untuk keluar sehingga kami mengajak anak gadis dan juga wanita yang sedang haid. Mereka duduk di belakang barisan lelaki dan bertakbir mengikuti takbir lelaki, berdoa mengikuti doa lelaki dengan mengharapkan barakah dan kesucian hari raya itu.” (HR al-Bukhari, no. 971 dan Muslim, no. 890).
Gambaran yang kita jelaskan ini mungkin sesuai dengan suasana aman dan tenteram yang kita kecapi pada saat ini khususnya di negara kita Malaysia. Bagaimana dengan saudara seagama kita di Palestin? Adakah sambutan ‘Aidilfitri mereka sama dengan apa yang kita rasai ini? Jika kita dihidangkan dengan pelbagai juadah untuk di makan, adakah mereka mempunyai makanan untuk dimakan? Seperti yang kita sedia maklum bahawa sejak tercetusnya serangan antara Palestin dengan negara haram Israel pada 7 Oktober 2023 lagi, jika dihitung dari tempoh permulaan serangan itu sehingga bulan ini, ia telah mencapai tempoh hampir enam bulan berlangsung. Bahkan, sehingga kini belum ada ketentuan bahawa ia akan berakhir kerana pihak Israel belum merasakan mereka kalah dan masih meneruskan agenda yang mereka perjuangkan.
Sekalipun kecaman dunia melalui pelbagai bantahan yang dilakukan, pihak Israel terus meneruskan agenda serangan mereka. Ratusan ribu rakyat Palestin sama ada orang dewasa, kanak-kanak, golongan wanita dan warga tua yang dibom dan ditembak sama ada jarak dekata atau jauh. Tanpa ada sebarang belas dan kasihan. Bahkan, tempat-tempat awam seperti sekolah, hospital, balai polis, masjid, pejabat kerajaan dan hampir keseluruhan bagunan di Gaza telah dibom hanya alasan bahawa mereka menyangka adanya tentara Hamas yang berlindung dan bersembunyi di kawasan itu. Kejam dan sungguh lazim tindakan mereka ini.
Disebabkan situasi ini, sekalipun telah berakhir bulan Ramadan dan tibanya Syawal, pihak zionis Israel langsung tidak memberi peluang kepada rakyat Palestin untuk berasa tenang dan tenteram. Bahkan banyak lagi serangan yang dilakukan tanpa rasa belas kasihan dan sifat perikemanusiaan. Boleh kita katakan bahawa ini adalah satu kezaliman dan kekejaman yang nyata pada abad ini dan tindakan yang dilakukan itu mendapat sokongan dan dukungan pula daripada beberapa negara sekutu dan kuasa besar. Apa telah jadi kepada dunia, kerana tindakan yang dilakukan itu seolah-olah satu tindakan yang halal, sekalipun jelas serangan ke atas hospital, sekolah dan tempat-tempat awam yang lain ada mencabul undang-undang dunia. Termasuk serangan terhadap wanita, kanak-kanak dan orang tua.
Bahkan, staf dan pegawai perubatan, wartawan dan polis keamanan juga turut diserang tanpa belas dan kasihan. Oleh itu, bagi kita rakyat Malaysia yang masih berada dalam aman dan tenteram ini, kita tidak boleh hanya memandang sebelah mata penderitaan yang dihadapi oleh saudara Islam di Palestin. Sempena dengan sambutan ‘Adilfitri kali ini sewajarnya ada beberapa perkara yang boleh kita sama-sama lakukan dan teruskan lagi sebagai tanda solidariti kita terhadap rakyat Palestin yang dizalimi itu. Antara yang boleh dicadangkan sebagai satu tindakan kita bersama dalam bulan ‘Adilfitri ini iailah; Pertama, sebelum melaksanakan solat ‘Adilfitri pada 1 Syawal atau lebih awal daripada itu, marilah kita sama-sama lakukan pembayaran zakat fitrah dan mungkin pembayaran kali ini kita tujukan kepada pemberian khas untuk rakyat Palestin. Mungkin kita boleh mencari NGO yang boleh membantu dalam soal mengumpulkan zakat fitrah tersebut dan kemudian dapat disalurkan kepada mereka. Ia sebagai satu usaha kecil bagi tiap-tiap individu untuk membantu rakyat Palestin yang kelaparan tanpa makanan dan minuman serta tiada pula tempat tinggal.
Sedangkan jika dibandingkan dengan kita, ada yang memakan nasi dari beras tempatan, ada beras super dan juga dari jenis beras basmati yang mahal. Dalam erti kata kita masih boleh memilih untuk makan pelbagai jenis beras, sedangkan rakyat Palestin tiada beras dan tiada pilihan juga. Kedua, sempena ‘Aidilfitri kali juga, kita meneruskan lagi agenda untuk melakukan boikot barangan yang mempunyai kaitan dengan rakaian perniagaan dari Israel. Usaha ini adalah sangat penting dalam usaha memberi tekanan ekonomi kepada semua proksi dan pendukung rangkaian perniagaan Israel. Jangan kita memadang remeh usaha ini kerana, ia mempunyai kesan jangka panjang terhadap mereka. Marilah kita utamakan barang tempatan dan keluaran umat Islam secara khusus lagi. Gunakan kuasa kita sebagai pengguna untuk ingat dan membantu secara tidak langsung rakyat Palestin ini melalui cara ini. Bukan boikot dari sudut pembelian barangan sahaja, termasuk juga perkhidmatan lain seperti saluran TV yang ada kaitan dengan rangkaian Israel, semua produksi filem yang mendukung Israel, saluran shoping yang ada kaitan dengan Israel dan sebagainya lagi. Marilah kita bersatu mencari pengeluar tempatan atau yang menetang Israel dan bersama-sama rakyat Palestin.
Ketiga, seperti yang kita sedia maklum juga, doa adalah senjata utama umat Islam. Sudah pasti, umat Islam di Malaysia sepatutnya mendoakan kemenangan, kesejahteraan dan keamaman serta pertolongan Allah kepada seluruh rakyat Palestin yang dizalimi tersebut. Semasa bulan Ramadan yang lepas, sewajarnya kita gunalan peluang dan ruang yang dijanjikan kemustajaban doa untuk memasukkan doa kepada rakyat Palestin. Demikian, juga apabila kita berada pada malam 1 Syawal, kita boleh gunakan kesempatan untuk bermunajat dan mendoakan mereka. Imam al-Shafie berkata: “Telah sampai kepada kami bahawa doa dimakbulkan pada lima malam iaitu malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.” Sesuai dengan apa yang dijelaskan dalam hadith Abu Umamah al-Bahili yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan dua malam hari raya (aidiladha dan aidilfitri) kerana mengharapkan ganjaran kerana Allah. Maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana matinya hati-hati (manusia).” (HR Ibn Majah, no.hadith 1782, Sheikh al-Arna’ut mengatakan hadith ini da’if (lemah)).
Bahkan ada juga riwayat daripada Imam Al-Tabarani daripada Ubadah bin Samit bahawa Nabi SAW bersabda: Sesiapa yang mendirikan solat (sama ada solat fardhu atau sunat) pada malam hari raya aidilfitri dan aidiladha, maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana matinya hati-hati (manusia).” (HR al-Tabarani, no.hadith 159 dalam al-Mu’jam al-Awsat) Melalui pemahaman umum hadith ini, menunjukkan bahawa Nabi SAW meminta agar kita hidupkan malam 1 Syawal itu dengan sebaik-baiknya kerana ia adalah antara waktu dan kesempatan penting dalam kemustajaban doa yang dipinta. Jadi, kesempatan ini kita gunakan untuk mendoakan rakyat Palestin yang dizalimi sehingga saat ini agar mereka sentiasa mendapat pertolongan Allah, mereka dapat menjamah makanan untuk meneruskan kehidupan, mereka dibebaskan daripada cengkaman penjajahan moden dan sebagainya lagi. Jangan sesekali lupa untuk turut dipanjatkan doa ini setiap kali selepas solat fardu setiap hari.
Keempat, memandangkan ‘Aidilfitri adalah pembebasan kita daripada dosa dan gangguan daripada syaitan, maka tetapkan hati kita untuk mengekalkan keadaan fitrah itu. Pastikan kita tidak kembali terjerumus kepada perbuatan dan tindakan yang mendatangkan dosa. Kita mohon kepada Allah akan kita dikekalkan sebagai orang yang dimustajabkan doa, orang yang mengekalkan nilai taqwa yang diperoleh semasa Ramadan, orang yang sentiasa bersyukur dengan segala nikmat keamanan, kesenangan dan ketenteraman yang kita sedang kecapi ini. Tiada lagi erti kemenangan dan pembebasan jika kita masih dibelenggu dengan dosa dan segala nikmat keamanan, ketenangan dan kesenangan yang dianggat daripada kita. Sebab itu, sentiasa memanjat syukur kepada Allah dalam perkara ini. Bukan untuk kita mementingkan diri sendiri, tetapi demi mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di Palestin sehingga ketika ini.
Pada masa sama, ia menjadi kesempatan dan ruang berterusan untuk kita menghulurkan pelbagai bantuan kepada rakyat Palestin. Jika tiada keamanan dan kesenangan ini, bagaimana kita mahu membantu saudara kita yang lain? Kelima, ketika Khutbah solat Aidilfitri, boleh dicadangkan juga selain menyebutkan tentang kegembiraan, para khatib boleh selitkan dan kenangkan juga apa yang sedang berlaku di Palestin. Hal ini penting kerana, kita sedia maklum bahawa pada ketika ini, berduyung-duyung masyarakat turun ke masjid dan surau untuk sama-sama melaksanakan solat hari raya. Kesempatan ini, boleh digunakan oleh pihak pengurusan masjid, dari sudut memberi kesedaran, mengadakan kutipan dana khas untuk Palestin, mengajak masyarakat berkumpul dan menyatakan pendirian terhadap Palestin dan pelbagai agenda lagi. Tidak lain perkara ini dilakukan, melainkan sebagai satu solidiriti terhadap rakyat Palestin.
Justeru, banyak lagi tindakan yang boleh dilakukan oleh kita semua sempena dengan keberadaan kita dalam bulan Syawal ini. Apa yang penting dan utama adalah kita ingat bahawa jika kita berperang dan berhempas pulas pada bulan Ramadan bagi melawan pelbagai godaan makan dan minun, godaan mata dan telinga, godaan nafsu syawat dan sebagainya lagi, tetapi kita berjaya lakukan dan bertahan sehingga akhir Ramadan serta
mencapai kemenangan pada 1 Syawal. Bayangkan bahawa keadaan ini lebih dahsyat dan hebat lagi yang dihadapi oleh rakyat Palestin. Bukan lagi godaan syaitan dan hawa nafsu sahaja, tetapi diuji dengan peperangan yang panjang, penindasan, pembunuhan beramai-ramai, kemusnahan kediaman dan harta benda yang boleh dikatakan sebagai satu penjajahan moden terhadap rakyat Palestin. Apa yang mereka hadapi adalah lebih dasyat dan teruk.
Oleh itu, kemenangan dan pembebasan daripada penjajahan inilah yang didambakan oleh rakyat Palestin. Jadi, bagi kita umat Islam yang bersaudara, sudah pasti kita juga mahukan agar rakyat Palestin turut mengecapi keamanan dan kesejahteraan hidup. Semoga Allah SWT bersama-sama pertolonganNya untuk keseluruhan rakyat Palestin yang dizalimi itu. Salam ‘Aidilfitri, maaf zahir dan batin.
Prof. Madya Dr. Khadher Ahmad
Profesor Madya di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadis, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya