Calon Barisan Nasional N.17 Gombak Setia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin

KUALA LUMPUR – UMNO Selangor telah mengembalikan semula tawaran 75 daripada 373 jawatan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) atau ketua kampung kepada kerajaan negeri baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din, pihaknya telah mengambil keputusan untuk terlibat dalam lantikan jawatan Pengerusi Komuniti Desa Madani yang akan diwujudkan di setiap kampung bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Kata beliau, senarai calon untuk dilantik ke jawatan tersebut juga sudah diserahkan kepadanya melalui ketua-ketua bahagian.

“Watikah pelantikan akan dilakukan selepas raya. Semua bahagian saya sudah minta menamakan calon-calon Pengerusi Komuniti Desa Madani di peringkat kampung-kampung.

“Kita sudah dapat kelulusan, tinggal lagi selepas raya saya akan adakan pertemuan dengan kesemua pengerusi dan juga setiausaha yang berjumlah 746,” katanya kepada media.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi PH Selangor, Borhan Aman Shah mendedahkan UMNO ditawarkan sebanyak 75 jawatan Pengerusi MPKK. – MalaysiaGazette